suria

BN Akan Teruskan ZIPY Jika Tawan Semula Kedah - Mukhriz

YAN: Barisan Nasional (BN) akan meneruskan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY), projek mega yang pernah dirancang kerajaan BN sebelum ini, jika berjaya merampas semula pentadbiran negeri Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata projek itu yang mampu menjana pendapatan tinggi kepada negeri selain mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji lumayan kepada rakyat, merupakan antara perkara yang dimuatkan dalam manifesto BN Kedah pada PRU13, 5 Mei ini.

"BN mempunyai komitmen tinggi untuk membangunkan projek ini dengan kerjasama pihak swasta kerana ia mampu menjana sumber ekonomi kepada negeri dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Mini Padang Lumat di sini, Sabtu.

RTC mini itu antara lain menawarkan perkhidmatan tempahan kad perkahwinan, jualan alat tulis, kursus kemahiran dan kelas komputer serta menyediakan lapan inisiatif, termasuk pertanian bernilai tinggi, kerjasama universiti dan pemprosesan produk agro makanan.

ZIPY diumumkan pada 2007, hasil perancangan kerajaan BN semasa memerintah Kedah. Projek itu melibatkan pembinaan kilang penapisan minyak bagi memproses minyak mentah dari Asia Barat sebelum dijual ke negara-negara Asia Timur.

Setelah pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran Kedah selepas PRU 2008, mereka bersetuju meneruskan projek itu dan menukar namanya kepada Projek Hab Hidrokarbon Sungai Limau (Sulihh).

Bagaimanapun, kerajaan negeri pakatan mahu menggunakan kaedah lain iaitu menambak laut, namun gagal dilaksanakan, dengan memberi alasan kononnya projek itu tergendala disebabkan pemaju yang dilantik menghadapi masalah teknikal dan kewangan.

Mengikut perancangan sebelum ini, projek itu dijangka siap tahun ini dan mampu menjana pendapatan RM400 juta setahun untuk kerajaan negeri.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata kegagalan kerajaan negeri yang diterajui PAS melaksanakan Sulihh disebabkan pelabur swasta tidak yakin terhadap kerajaan negeri.

Beliau berkata projek ZIPY itu melibatkan cadangan pembinaan janakuasa baharu di Pulau Bunting bagi membekalkan tenaga elektrik ke selatan Thailand manakala pihak swasta juga akan membina pelabuhan untuk minyak dan gas dari selatan Thailand untuk dieksport ke Jepun dan China.

Katanya kerajaan negeri gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat manakala pembangunan Kedah terbantut selama lima tahun.

"Oleh itu rakyat perlu memberi kepercayaan kepada BN untuk memerintah dan memajukan Kedah pada PRU13 ini," kata Mukhriz. - BERNAMA

Artikel Lain