suria

Tambunan Bukan Laluan Mudah Bagi Politik Pembangkang

KENINGAU: Tambunan, di mana terletaknya Trus Madi, gunung kedua tertinggi di Malaysia. Namun ramai percaya gunung dengan ketinggian 2,642 meter itu lebih sukar untuk ditakluk daripada Gunung Kinabalu yang setinggi 4,101 meter.

Daerah pedalaman ini juga tempat asal Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, 'Huguan Siou' atau pemimpin tertinggi bagi masyarakat Kadazan-Dusun-Murut dan hampir seluruh penduduk daerah lembah ini adalah orang Dusun.

Trus Madi tiada kaitan dengan politik. Bagaimanapun, Tambunan, yang terletak di bawah kawasan Parlimen Keningau yang disandang Pairin, telah menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak 21 tahun lalu.

Dua kerusi negeri lain di bawah kawasan Parlimen Keningau adalah Bingkor dan Liawan, yang masing-masing dimenangi BN melalui Datuk Justin Guka dan Datuk Haji Sairin Karno pada pilihan raya umum lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Pairin mengekalkan kerusi Parlimen Keningau, yang beliau menangi sejak 1986, mengalahkan adiknya, Dr Jeffrey Kitingan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), dengan majoriti 4,264 undi. Beliau juga mengekalkan kerusi negeri Tambunan dalam persaingan tiga penjuru antara Mozes M. Iking dari PKR dan Francis Koh, calon bebas, dengan majoriti 2,781 undi.

Terdapat spekulasi bahawa presiden PBS itu mungkin tidak mempertahankan kerusi Parlimen Keningau itu kali ini dan berkemungkinan bertanding bagi kerusi negeri Tambunan.

Timbalan Ketua Bahagian PBS Daniel Kinsik, disebut-sebut menggantikan Pairin, manakala PKR dijangka mengemukakan muka baru, Justin Yonsodong.

Walaupun pembangkang menyatakan 'ini kalilah', penganalisis politik percaya Pairin masih mempunyai sokongan yang kuat di Keningau, terutama dalam masyarakat KDM. Ramai berpendapat yang rakyat masih selesa dengan gaya kepimpinan sederhana dan merendah diri Pairin.

"Politik di sini (di Tambunan dan Keningau) seperti Gunung Trus Madi, sukar untuk ditakluk kerana laluannya lebih sukar daripada Gunung Kinabalu.

"Pairin masih menjadi pilihan dalam masyarakat KDM terutamanya apabila beliau masih lagi Huguan Siou," kata seorang guru di Tambunan, yang enggannya namanya disiarkan.

Seorang peguam Kadazandusun di Keningau berkata KDM perlu kukuh dalam meneruskan sokongan mereka terhadap BN pada pilihan raya umum akan datang memandangkan BN lebih mampu menjaga kepentingan dan kesejahteraan masa depan mereka.

"Kami tahu beberapa pemimpin pembangkang KDM cuba membangkitkan emosi dalam kalangan masyarakat dengan membawa isu-isu ketinggalan zaman, tetapi mereka tidak praktikal dan sebenarnya tidak mempunyai visi tentang bagaimana untuk menjadikan KDM yang lebih berdaya saing dan masyarakat progresif.

"Dengan memperkecilkan pemimpin mereka sendiri, mereka (pembangkang) hanya merugikan kepada KDM (Kadazan-Dusun-Murut) kerana perpecahan boleh menyebabkan mereka menjadi masyarakat yang tidak berkesan dan tidak penting.

"Adalah penting bagi KDM untuk kekal dalam arus perdana politik dan pembangunan negara supaya mereka dapat memainkan peranan yang berkesan dalam pembinaan negara dan setanding dengan masyarakat lain di negara ini," kata beliau kepada Bernama.

Beliau berkata KDM perlu sedar bahawa walaupun ia kumpulan etnik terbesar di Sabah tetapi minoriti dalam negara.

Perpaduan pemimpin-pemimpin dan anggota KDM dari tiga parti politik melibatkan Kadazan, Dusun dan Murut di Sabah dilihat semasa perhimpunan khas yang dikenali Gelombang Tataba, baru-baru ini.

Para pemimpin tertinggi tiga parti komponen BN iaitu PBS, PBRS dan Upko, bersama bukan sahaja dalam kalangan mereka dan anggota parti tetapi juga dalam masyarakat secara umumnya.

Jumlah kehadiran yang besar masyarakat KDM di Hongkod Koisaan di Penampang menjadi bukti bahawa KDM mahu perpaduan yang lebih kukuh bagi memastikan hak dan kepentingan mereka terjamin dan KDM boleh menjadi rakan kongsi yang bermakna dalam pembangunan negara.

Menawan Gunung Trus Madi cukup sukar. Parti-parti pembangkang akan mendapati lebih sukar untuk menawan hati rakyat yang tetap teguh kepada kepimpinan PBS. -BERNAMA

Artikel Lain