suria

PRU-13: Kerusi Jerlun Penentu Kerajaan Bayangan BN Kedah

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir

PADA tahap ini semua pihak khususnya Barisan Nasional (BN) masih berteka-teki mengenai senarai calon yang bakal dinamakan sama ada untuk berentap bagi kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

BN merupakan parti pembangkang di Kedah selepas tewas pada Pilihan Raya Umum 2008 apabila hanya memenangi 14 daripada 36 kerusi DUN yang dimiliki.

Baki 22 kerusi jatuh ke tangan pakatan pembangkang apabila PAS berjaya memenangi 16 kerusi sementara PKR dan DAP masing-masing mendapat lima dan satu kerusi.

Bagi BN sendiri, pilihan raya edisi kali ini merupakan kayu pengukur mengenai sejauh mana parti itu berjaya bangkit dan memperbetulkan kesilapan lalu hinggakan negeri jelapang padi ini jatuh ke tangan pakatan pembangkang.

Baik di pihak Umno, MCA, MIC mahupun Gerakan, cakap-cakap politik sememangnya yakin bahawa mereka boleh membentuk kerajaan negeri selepas PRU nanti.

Cuma keyakinan mereka boleh dibahagikan kepada dua peringkat.

Pertamanya mereka yakin BN berupaya untuk menang kembali di Kedah selepas pelbagai perubahan dilakukan dalam tempoh lima tahun lalu.

Bagaimanapun keyakinan itu mungkin tidak sampai kepada satu tahap bahawa mereka akan mendapat kemenangan dua per tiga dalam DUN.

Namun rata-rata semua pihak bersetuju bahawa keyakinan tahap pertama boleh ditingkatkan ke tahap kedua selepas senarai penuh calon BN diumumkan sekitar minggu hadapan.

Lebih menambah keyakinan pemimpin tempatan ialah mengenai status kerusi Parlimen Jerlun yang disifatkan agak 'panas' kerana ia akan menentukan struktur kerajaan bayangan di pihak BN.

Kerusi Parlimen Jerlun yang dimenangi Datuk Mukhriz Mahathir pada pilihan raya yang lalu disifatkan 'panas' kerana terdapat desas-desus kencang yang mengatakan beliau tidak akan mempertahankannya.

Sungguhpun menang dengan majoriti selesa iaitu sebanyak 2,205 undi mengalahkan calon PAS, Idris Ahmad yang memperoleh 17,219 undi, Mukhriz dikatakan bakal berubah kerusi pada pilihan raya kali ini.

Pemimpin tempatan meramalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal meletakkan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu bertanding di kerusi DUN.

Bersandarkan itu, banyak pihak membayangkan Najib selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno mempunyai pelan jangka panjang demi memastikan kemenangan selesa milik BN di Kedah.

Bagaimanapun Najib yang dikatakan bakal mengumumkan senarai calon BN yang akan bertanding di 222 kerusi Parlimen seluruh Malaysia Isnin depan bakal merungkai teka-teki berkenaan.

"Kalau nama Datuk Mukhriz tidak lekat (tidak tersenarai di kerusi Parlimen), kita sudah boleh agak apa yang diinginkan Perdana Menteri. Maknanya Datuk Mukhriz berkemungkinan besar akan bertanding di kerusi DUN.

"Tapi lepas ini adakah Datuk Mukhriz akan jadi Exco sahaja? Beliau sekarang timbalan menteri," soal salah seorang pemimpin kanan BN di Kedah.

Persoalan itu sebenarnya memberi indikasi bahawa kemungkinan besar Mukhriz bakal dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baru sekiranya BN berjaya merampas kembali negeri itu.

Jika dilihat percaturan di atas kertas, kerusi DUN Ayer Hitam dalam Parlimen Jerlun mungkin menjadi medan yang sesuai untuk Mukhriz jika benar beliau bertanding di peringkat negeri.

Kerusi Ayer Hitam dikatakan paling selamat dan selesa untuknya kerana selain terletak dalam kawasan Parlimen yang dimenanginya sebelum ini, kehadirannya di situ tidak dilihat sebagai 'mencantas' peluang pemimpin tempatan.

Pada PRU 2008 DUN Ayer Hitam dimenangi calon PAS, Abd Ghani Ahmad yang memperoleh 10,652 undi berbanding calon BN, Datuk Othman Aziz yang mendapat 10,146 undi.

Abd Ghani menang dengan majoriti kecil sebanyak 506 undi.

Selain Ayer Hitam, DUN Kota Siputeh turut berada dalam Parlimen Jerlun.

Khabar angin yang mengatakan Mukhriz sebagai calon Menteri Besar BN yang baru turut bertiup kencang di kalangan rakyat di Kedah.

Rata-rata memberi gambaran bahawa pemimpin berusia 49 tahun itu dilihat sebagai individu yang sesuai untuk menerajui Kedah sekiranya BN berjaya membawa perubahan yang besar dalam sistem politik di negeri itu.

Bagi mereka, Kedah dahagakan seorang pemimpin yang mempunyai pakej lengkap termasuk kelayakan akademik, kredibiliti, imej bersih serta mempunyai misi dan visi jelas untuk menerajui sebuah kerajaan.

Namun di sebalik populariti Mukhriz yang dikatakan sebagai calon Menteri Besar, semuanya bergantung kepada pengumuman Najib minggu depan.

Teka-teki akan terus berlaku sekiranya nama Mukhriz masih 'terlekat' di Parlimen Jerlun sebagai calon boleh menang di kawasan berkenaan.

Artikel Lain