suria

Polis Kenal Pasti Kumpulan NGO Cuba Timbul Kekecohan Semasa PRU-13

GEORGE TOWN: Polis telah mengenal pasti kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba menakut-nakutkan pengundi dan menimbulkan kekecohan di negeri ini pada musim pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kumpulan NGO itu dikenalpasti di bahagian pulau dan seberang antaranya di Bagan dan Tasek Gelugor.

"Kumpulan NGO itu menimbulkan kekecohan dengan memeriksa kad pengenalan orang ramai di kawasan mengundi yang kononnya untuk memastikan mereka bukan pengundi hantu. "Itu bukan tugas NGO. Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan menentukan seseorang itu pengundi berdaftar," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Khalid yang sebelum itu menghadiri taklimat persiapan PRU13 polis kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini, berkata kawasan-kawasan itu perlu diberi perhatian dan polis akan menempatkan lebih ramai anggota di kawasan terlibat bagi memastikan semua pengundi keluar mengundi.

Beliau berkata polis menjamin keselamatan orang ramai dan menasihati pengundi tidak berasa risau serta mendapatkan maklumat mengenai saluran tempat mengundi mereka terlebih dahulu dengan menghubungi SPR.

Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan yang menimbulkan kekecohan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya tanpa mengambil kira mereka yang terlibat penyokong parti mana, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain