suria

PM Janji Tunai Lebih Banyak Harapan Generasi Muda Jika Menang PRU-13

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji akan menunaikan lebih banyak harapan generasi muda jika mendapat mandat untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya umum Ke-13 (PRU13).

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja tidak pernah meminggirkan golongan muda tetapi telah menjalankan pelbagai program untuk golongan itu di negara ini.

Antaranya, kata beliau ialah program untuk menggalak kesukarelawan 1M4U, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan bujang yang berpendapatan RM2,000 ke bawah dan Skim Latihan 1Malaysia untuk meningkatkan kompetensi belia.

"Kita akan berusaha gigih hari ini supaya melalui usaha yang tersusun dan dengan pelaksanaan yang berkesan, kita akan melakar masa depan yang penuh dan sarat dengan harapan," katanya ketika melancarkan program 'Suara Generasiku' di Dewan Sri Putra, Stadium Bukit Jalil di sini Jumaat.

Turut hadir pada majlis anjuran Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia itu ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri berkata berbeza dengan kepimpinan terdahulu, kerajaan pimpinannya telah beralih daripada pendekatan ortodoks, kerana beliau sedar bahawa generasi muda kini membesar dalam persekitaran yang berbeza dengan generasi sebelumnya. "Pada saya, ia lebih baik dan lebih bermakna kalau kita dapat membawakan saluran-saluran yang baru supaya melalui kaedah ini kita boleh mencetus kehendak generasi baru, cetusan akar umbi generasi muda kerana generai muda mampu menentukan apakah kehendak mereka yang patut diberi pertimbangan oleh kerajaan," katanya.

Justeru, Najib berkata tiada sebab untuk orang muda melakukan demonstrasi di jalanan atau menuntut supaya perubahan dilakukan dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada. "Tak ada sebab mereka rasa bahawa mereka tidak terbela kerana kerajaan hari ini kita telah membuka proses amalan demokrasi yang lebih terbuka dan liberal.

"Percayalah, kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan untuk orang-orang muda," kata beliau.

Suara Generasiku merupakan platform baharu untuk generasi muda Malaysia, tidak kira bangsa, agama atau kepercayaan untuk menyuarakan pendapat, idea dan harapan mereka untuk kebaikan dan pembangunan komuniti negara.

Idea dan cadangan terbaik daripada golongan itu akan ditampilkan kepada pemimpin-pemimpin negara atau badan-badan berkaitan untuk dijadikan asas perancangan pembangunan seterusnya.

Mereka boleh menyuarakan pandangan masing-masing secara langsung sama ada melalui sesi bersama wakil-wakil Suara Generasiku, atau memuatnaik sendiri video mereka ke saluran sosial media Suara Generasiku. - BERNAMA

Artikel Lain