suria

Pembangkang Di Perak Komited Kempen Tidak Dedah Isu Peribadi, Kaum & Agama

IPOH: Pakatan pembangkang di negeri Perak menyatakan komitmen untuk tidak mendedahkan isu-isu peribadi, agama dan perkauman menjelang kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Sebaliknya, Setiausaha Pakatan Rakyat (PR) negeri Dr Khairuddin Abdul Malik berkata, setiap anggota dan calon parti hanya akan mendedahkan isu-isu pentadbiran sepanjang tempoh berkempen.

"Kita hanya akan mendedahkan isu-isu di peringkat pentadbiran, bukan isu peribadi.

"Kita melarang ahli-ahli dan calon-calon kita untuk bercakap tentang isu-su peribadi, perkauman dan isu agama," katanya pada sidang media di pejabat PAS negeri, dekat sini, Khamis.

Khairuddin berkata melalui ceramah dan kempen-kempen pilihan raya, pembangkang akan mengemukakan idea dan menyampaikan manifestonya kepada rakyat.

"Kami akan kemukakan idea-idea manifesto dan bagaimana idea-idea untuk membangunkan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ekoran terdapat surat-surat berunsur provokasi yang diedarkan di kampung-kampung di sini menyatakan perkara-perkara perkauman dan keagamaan termasuklah aktiviti-aktiviti PR yang didakwa menakutkan rakyat.

"Sepatutnya pilihan raya menjadi satu medan untuk semua pihak mengemukakan idea untuk membangunkan negara dan untuk kita memilih pemimpin terbaik, bukan menimbulkan ketegangan," katanya.

Dalam pada itu, PR juga menuntut semua penjawat awam khususnya agensi-agensi penting kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, polis dan penguatkuasa menjalankan tugas dengan adil, amanah dan profesional.

Artikel Lain