suria

Kemelut Tamat, MCA Sah Serah Kerusi DUN Tronoh Kepada MIC

Loh Koi Pin
Loh Koi Pin
Loh Koi Pin

IPOH: MCA pada Jumaat, mengesahkan memberi laluan kepada MIC untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Bahagian MCA Batu Gajah, Loh Koi Pin berkata segala salah faham dan pertikaian di antara dua parti komponen itu mengenai kerusi di DUN Tronoh telah diselesaikan apabila beliau mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Batu Gajah Datuk Yusof Kassim, Rabu lalu.

Beliau berkata kemelut yang berlaku perlu diselesaikan dan setiap anggota parti perlu berkerjasama bagi memastikan kerusi yang dirampas pada pilihan raya 2008 dimenangi semula.

"Kita mesti berkerjasama untuk memenangi kembali kerusi yang hilang pada 2008.

"Saya akan mengadakan pertemuan dengan anggota bahagian untuk menerangkan kepada mereka dan meminta supaya mengenepikan perbezaan pandangan," katanya pada sidang media, di pejabat MCA, dekat sini, Jumaat.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek minggu lalu membuat pengumuman serupa mengenai ketetapan ini, demi semangat perkongsian kuasa di antara parti komponen BN tanpa meletakkan sebarang syarat.

Pengumuman dibuat selepas Loh, pada satu sidang media menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pengumuman MIC untuk bertanding di DUN Tronoh yang sebelum ini ditandingi MCA.

Bagaimanapun, MCA akan bertukar kerusi DUN Buntong dengan MIC di kerusi DUN Sungkai pada pilihan raya umum akan datang.

Artikel Lain