suria

Ghapur Anggap Laporan Spekulasi Calon Rosakkan Reputasi

TAWAU: Ketua Umno bahagian Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh kecewa dengan laporan sebuah akhbar tempatan bahawa beliau akan menimbang untuk tidak mempertahankan kerusi kawasan Parlimen Kalabakan sekiranya anak perempuan beliau diletak sebagai calon di situ dalam pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata beliau tidak menentang spekulasi media semasa pilihan raya untuk tujuan meningkat hasil jualan mereka tetapi ia tidak adil bila spekulasi mempertikaikan personaliti dan prinsip individu.

"Dalam kes ini, saya anggap ia merosakkan reputasi peribadi saya. Berdasarkan liputan itu, ramai yang salah anggap bahawa saya akan memberi laluan dengan syarat Noraini Abdul Ghapur dinamakan sebagai calon. "Saya menerima beberapa panggilan bertanyakan saya sama ada ia betul. Saya ingin jelaskan di sini sama ada saya atau sebarang kerusi di Kalabakan boleh dianggap sebagai komoditi yang boleh diperdagangkan. "Saya bukan untuk dijual dan tidak juga sebarang kerusi di Kalabakan. Oleh itu, saya mahu ia diketahui bahawa saya menafikan yang saya akan menyerahkan kerusi Parlimen kawasan Kalabakan dengan syarat anak perempuan saya dicalonkan. "Jika beliau (Noraini), atau sesiapa saja ingin dipilih, biarlah ia berdasarkan merit dan orang itu atau beliau berhak (menjadi calon) berdasarkan kriteria dan standard yang ditetapkan perdana menteri. Tiada jual-beli di sini. Saya tidak pernah membayang atau menyebut syarat berkenaan.

"Idea itu sememangnya melanggar prinsip saya. Mereka perlu bertanya saya dahulu," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Ghapur memberi respons berhubung laporan sebuah akhbar tempatan semalam yang membuat spekulasi beliau beliau bersedia untuk tidak bertanding di kerusi Kalabakan sekiranya anak perempuan beliau Noraini dipilih sebagai calon.

Beliau berkata beliau menolak tanggapan bahawa kepimpinan politik boleh diwarisi dan ia boleh melibatkan hal ehwal keluarga. -BERNAMA

Artikel Lain