suria

Australia Kurnia Pingat Kehormat Kepada Arkitek Malaysia Hijjas Kasturi

KUALA LUMPUR: Arkitek terbilang Malaysia Hijjas Kasturi menerima anugerah Ahli Kehormat (AM) the General Division of the Order of Australia.

Anugerah itu sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam hubungan Australia-Malaysia, terutama sokongannya terhadap bidang kesenian dan seni bina.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kupa, pada majlis penganugerahan itu di sini pada Selasa lepas, berkata beliau berbesar hati mengurniakan pingat kehormat berkenaan kepada Hijjas, 77, atas sumbangan besarnya ke arah memperkukuh hubungan antara Australia dan Malaysia.

"Saya gembira melihat sumbangan Hijjas diiktiraf menerusi anugerah berprestij ini. Australia memberi penghormatan kepada beliau hari ini, dan yakin beliau akan terus memupuk hubungan erat antara kedua-dua negara pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Hubungan Hijjas dengan Australia bermula apabila beliau melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina di University of Adelaide pada 1960 dan University of Melbourne pada 1965 selepas dianugerah biasiswa kerajaan Australia.

Sejak itu, hubungannya dengan Australia berterusan apabila beliau menjadi pensyarah di Melbourne dan Adelaide pada Mac 2008. Beliau turut menganjurkan program pertukaran pelajar jurusan seni bina dan arkitek junior dari Australia.

Hijjas merupakan pereka cipta beberapa bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur seperti Menara Telekom serta Bangunan Tabung Haji, dan hasil kerja beliau menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Reka Cipta Tokyo ke-12 pada 1998 dan Pingat Emas Anugerah PAM (Institut Arkitek Malaysia) pada 2001.

Beliau juga merupakan pereka cipta beberapa stadium di Malaysia termasuk Stadium Shah Alam di Selangor dan Stadium Sarawak, selain terbabit mereka bentuk Putrajaya, pusat pentadbiran negara serta Pusat Konvensyen Putrajaya.

Kupa berkata selain seni bina, Hijjas terkenal kerana sumbangannya dalam bidang seni yang mana beliau dan isteri, Angela Hijjas, memiliki serta mengendali program 'Rimbun Dahan' yang didedikasi untuk menyokong pembangunan dan pemuliharaan pelbagai bentuk seni.- BERNAMA

Artikel Lain