suria

PR Umum Serentak Semua Calon Bertanding Di Perak Pada 15 April

IPOH: Semua calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP yang akan bertanding di Perak pada pilihan raya umum hanya akan diumumkan pada 15 April ini.

Setiausaha Pakatan Rakyat (PR) Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik berkata, calon-calon dari ketiga-tiga parti itu akan diumumkan secara serentak pada hari yang sama PR melancarkan manifesto mereka bagi peringkat negeri.

"Kalau dengar apa-apa spekulasi dari saat ini anggaplah ia sebagai berita separuh benar kerana hanya pada 15 April kita akan umumkan calon kita untuk Pakatan Rakyat negeri Perak, secara serentak dan rasmi," katanya pada sidang media di pejabat PAS negeri, dekat sini, Khamis.

Menurut Khairuddin, pada sebelah malam pula, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir di Parlimen Tambun untuk bersama-sama dengan rakyat bagi melafazkan ikrar.

Mengenai pembahagian kerusi, beliau berkata ia secara keseluruhannya telah selesai walaupun masih timbul pertikaian mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering.

Mengulas lanjut Khairuddin berkata, PKR negeri memberikan mandat sepenuhnya kepada Majlis Pimpinan Tertinggi PR Pusat berhubung keputusan siapa yang akan bertanding kerusi itu nanti yang akan diumumkan pada 15 April.

"Kita akan akur dengan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat Pusat.

"Keputusannya hanya satu sama ada PAS bertanding atau PKR bertanding. Kita akan menerimanya dengan dada terbuka dan tak nak ganggu tugas mereka (Pusat)," katanya.

PAS Perak, Isnin lalu mengumumkan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin sebagai calon di DUN Changkat Jering.

Pengumuman itu bagaimanapun bercanggah dengan kenyataan Pengerusi PKR negeri, Dr Muhammad Nur Manuty sebelum ini yang menegaskan bahawa kerusi tersebut hanya akan diserahkan kepada PAS dengan syarat diganti dengan kerusi boleh menang lain yang dimiliki PAS.

Pesuruhjaya PAS negeri yang membuat pengumuman tersebut berkata ketetapan itu sudah mendapat 'lampu hijau' oleh kepimpinan PAS pusat.

Katanya, PAS setakat ini hanya bersetuju untuk bertukar kerusi dengan PKR di DUN Lintang dan Kenering manakala Changkat Jering akan tetap diserahkan kepada PAS.

Artikel Lain