suria

Peniaga Kedai Runcit Maut Ditetak Di Puchong

PETALING JAYA: Seorang pemilik kedai runcit maut selepas diserang sekumpulan lapan lelaki dalam satu kejadian di Batu 14, Puchong dekat sini, malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata dalam insiden kira-kira 8 malam itu, P.Thangavellu Radhakrishnan, 25, maut di tempat kejadian selepas ditetak di kepala.

Turut cedera seorang peniaga burger serta dua pelanggan yang kini dalam keadaan stabil di Hospital Serdang.

Yahaya berkata ketika kejadian, suspek yang memakai topeng 'ski' tiba di tempat kejadian dengan dua kenderaan sebelum menyerang mangsa, yang ketika itu bersendirian.

"Tiga lagi mangsa yang cedera kebetulan berada di situ," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Yahaya berkata motif kejadian dipercayai dendam dan perselisihan faham berdasarkan tindakan suspek yang terus menyerang mangsa.

"Mayat dihantar ke Hospital Serdang dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, T.Paniselvam, 55, berkata beliau percaya suspek sebelum ini pernah bergaduh beberapa kali dengan Thangavellu.

"Minggu lepas, anak saya ada bergaduh dengan sekumpulan lelaki berkaitan hal kereta, dan saya percaya mereka membalas dendam," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain