suria

PAS Sandarkan Harapan Pada Bekas Tokoh Korporat & Anak Ulama Di Dua Kerusi Parlimen P.Pinang

Abdul Rahman Maidin
Abdul Rahman Maidin
Abdul Rahman Maidin

PULAU PINANG: PAS Negeri nampaknya cuba menyandarkan harapan kepada bekas tokoh korporat dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia iaitu Datuk Seri Abdul Rahman Maidin untuk kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan anak ulama mereka, Afnan Hamimi Taib Azamudden untuk kerusi Kepala Batas.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Salleh Man ketika mengumumkan nama-nama calon parti itu di sini malam Rabu turut menyenaraikan calon mereka untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh sedangkan kerusi itu terlebih dahulu diisytiharkan milik PKR sebelum ini.

PAS akan meletakkan Ketua Dewan Pemuda Negeri, Yusni Md Piah di DUN berkenaan.

Sehari sebelum itu, Pengerusi PKR Pulau Pinang yang juga Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman lebih awal mengumumkan seorang tokoh muda dari Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali dengan nama Chegubard sebagai calon PKR di situ.

Jika tiada kompromi bermakna akan berlaku juga pertembungan kerusi tiga penjuru di beberapa tempat yang menyaksikan pihak pembangkang meletakkan dua calon menentang Barisan Nasional (BN) - sesuatu yang sebelum ini disebut tidak akan berlaku pada PRU-13.

Sementara itu calon untuk kerusi Parlimen Kepala Batas, Afnan Hamimi adalah merupakan anak kepada bekas ahli Parlimen Baling, Datuk Taib Azamudden yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara.

Beliau juga adalah setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri dan juga Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Afnan adalah lulusan Diploma Usuluddin Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) Terengganu dan Ijazah Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

BN masih belum menentukan siapakah calon untuk kerusi Kepala Batas.

Abdullah dikatakan mahu bersara dari politik dan mengesyorkan nama bekas setiausaha politiknya Datuk Rezal Merican Naina Merican sebagai pengantinya.

Dalam pada itu, pencalonan Rahman Maidin sebagai calon PAS untuk kerusi Parlimen Tasek Gelugor juga bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Pada awal Disember tahun lalu, bekas pengerusi konglomerat media negara dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) itu telah mengumumkan penyertaannya dalam PAS.

Beliau menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Johor.

"Kemasukan saya dalam PAS bukan untuk apa-apa tujuan melainkan ingin membantu PAS bersama Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum nanti," katanya kepada Harakahdaily selepas menyertai ceramah PAS di Tasik Gelugor, Disember lalu.

Ketika beliau menjadi pengerusi MRCB, syarikat tersebut pernah menjadi pemegang saham terbesar dalam Syarikat Televisyen Malaysia Berhad (TV3).

Artikel Lain