suria

DAP Kedah Beri Kata Dua Kepada PKR

Lee Guan Aik
Lee Guan Aik
Lee Guan Aik

ALOR SETAR: DAP Kedah memberi kata dua kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar tidak menghalang mereka untuk bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar pada pilihan raya umum ini jika ingin mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru.

Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik berkata, PKR sepatutnya menghormati semangat 'persaudaraan' antara pakatan pembangkang di negeri itu dengan memberi laluan kepada calon mereka yang disifatkan lebih berwibawa.

"Kami harap PKR akan memberi ruang kepada DAP kerana kita menawarkan seorang calon yang lebih baik dan disenangi rakyat selain merupakan anak tempatan.

"Calon kami sangat dekat dengan komuniti di sini khususnya masyarakat Cina. Beliau mempunyai klinik sendiri dan amat disenangi rakyat," katanya pada sidang media di Pejabat DAP Kedah di sini, Khamis.

Kata dua itu timbul selepas Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada akhir Mac lalu mengumumkan Ketua Biro Perundangan PKR Kedah, Gooi Hsio Leong sebagai calon Parlimen Alor Setar.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang lalu, Gooi bertanding di kerusi yang sama tetapi kalah di tangan Datuk Seri Chor Chee Heung daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 184 undi.

Selain Parlimen Alor Setar, DAP turut menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata dan Bakar Arang daripada PKR untuk ditandingi mereka.

Pada 2008, DUN Bakar Arang dimenangi wakil PKR, Tan Wei Shu dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 1,330 undi mengalahkan calon BN dan Bebas.

Pada pilihan raya tersebut DUN Bakar Bata turut ditandingi wakil PKR, Rohani Bakar namun tewas kepada calon BN dengan majoriti kecil iaitu 358 undi.

Selain itu pada sidang media yang sama, Timbalan Pengerusi DAP Nasional, Tan Kok Wai turut mengumumkan bahawa DAP akan meletakkan calon mereka bertanding di DUN Derga dan Kota Darul Aman.

Tan mendakwa bahawa komponen pembangkang sudah bersetuju untuk memberi laluan kepada DAP bertanding di Derga dan Kota Darul Aman.

Bagaimanapun PKR enggan melepaskan kedua-dua kerusi berkenaan kepada DAP.

PRU 2008 menyaksikan persaingan tiga penjuru di DUN Derga namun kemenangan berpihak kepada BN apabila memperoleh 6,516 undi manakala PKR dan DAP masing-masing mendapat 6,353 dan 2,095 undi.

Artikel Lain