suria

Calon PRU-13: Nama Tak Lepas Saringan SPRM Tak Akan Disenarai Pendekkan

PAGOH: Barisan Nasional (BN) tidak teragak-agak untuk mengugurkan calon-calon yang telah disenarai pendek jika didapati mempunyai masalah berkaitan rasuah, hutang atau kes jenayah selepas menjalani proses tapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap calon perlu melalui proses penting itu bagi memastikan mereka yang terpilih benar-benar bebas daripada masalah yang dinyatakan.

“Hanya mereka yang lulus saringan daripada SPRM sahaja yang akan terpilih dan layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Walaupun mereka (calon) mempunyai syarat-syarat lain, tetapi apabila didapati masalah tersebut secara automatik tidak akan dimasukkan dalam senarai akhir calon bertanding, bahkan akan dikeluarkan daripada senarai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bangunan Baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Lanadron, Panchor dan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang UPSR, SPM dan STPM 2012 Sekolah-sekolah Parlimen Pagoh, pada Khamis.

Ketika ditanya mengenai bakal menteri besar Johor jika BN berjaya mendapat kemenangan dan mentadbir negeri ini, Muhyiddin berkata, jawapan itu akan diketahui dalam tempoh masa beberapa hari lagi.

“Kita semua sudah boleh buat ramalan dan teka-teki timbul disebabkan mungkin ada perubahan dalam senarai yang akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman tidak lama lagi.

“Calon menteri besar sudah disenarai pendek tetapi ia masih lagi rahsia, biarlah Abdul Ghani umumkan tidak lama lagi,” katanya.

Artikel Lain