suria

BN Janji Ubah Landskap Kelantan Dengan Pelbagai Pembangunan Berpaksikan Islam

KOTA BARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan berjanji untuk mengubah landskap negeri ini dengan pelbagai pembangunan yang menjadikan Kelantan membangun dan maju berpaksikan Islam.

Perkara itu dinyatakan dalam Manifesto atau Akujanji BN khas untuk Kelantan bertemakan 'Rakyat Dihati Janji Ditepati' yang dilancar Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed di Bangunan Umno di sini, Khamis.

BN juga mahu menampilkan imej Islam sebagai agama kemajuan, progresif dan berpaksikan kepada kejayaan dalam usaha membawa perubahan besar di Kelantan.

BN akan memperlihatkan Islam dari segi kemuliaan akidah bagi memastikan kemajuan dan kemakmuran umat Islam dan rakyat Kelantan menjadi kenyataan berdasarkan prinsip maqasid syariah.

"Inilah kewajipan kita, sebab kita akan berdiri di atas dua prinsip penting iaitu Islam dan kecemerlangan," kata Mustapa.

Menurut Akujanji BN Kelantan itu, BN akan melaksanakan pentadbiran negeri ini berteraskan Islam, mempromosikan prinsip kesederhanaan (wasatiyah) dalam semua pendekatan, meningkatkan peranan institusi masjid dan surau sebagai pusat pendidikan seumur hidup.

BN juga berjanji untuk mengadakan program pembangunan ummah dan pembinaan insan secara tersusun dan bersepadu, memantapkan institusi pengajian al-Quran, menubuhkan pusat latihan perkaderan Islam dalam melahirkan para daei (pendakwah), imam dan pegawai masjid yang berwibawa, menaikkan pengecualian cukai untuk sumbangan ke atas pembinaan, membesarkan dan memulihara rumah-rumah ibadat.

Meneruskan peruntukan tanah untuk pembinaan rumah ibadat, menyediakan lebih banyak bantuan kewangan kepada institusi agama berdaftar dan rumah-rumah ibadat, mempromosikan kebajikan imam, pegawai masjid dan kenaikan gaji.

Selain itu, BN berjanji untuk meningkatkan kualiti sekolah agama rakyat dan membenarkan pelajarnya mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan infrastruktur pendidikan kerajaan, dan menyediakan bantuan kewangan kepada sekolah agama rakyat dan sekolah pondok.

Manifesto itu turut memuatkan tujuh janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memajukan Kelantan jika BN diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Tujuh janji itu ialah pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Baharu, stadium baharu, perumahan rakyat sebanyak 3,000 unit, kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 penuntut, membina masjid yang menjadi ikon negeri dengan kos RM50 juta, mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Baharu, menyelesaikan masalah bekalan air dan memberi tanah kepada rakyat Kelantan yang layak.

Manifesto itu juga memuatkan tujuh janji Mustapa jika BN diberi mandat memerintah negeri ini, iaitu menjanjikan pentadbiran yang adil, urus tadbir yang telus, amanah dan bertanggungjawab, kerajaan BN akan mengutamakan anak-anak tempatan dalam pengagihan tanah.

Mengamal, menggalakkan serta menerapkan nilai-nilai murni sekali gus mengelakkan amalan fitnah, tuduhan, tomahan atau kata-kata kesat di kalangan masyarakat, kerajaan BN tidak akan menggondolkan tanah di Hulu Kelantan.

Menanamkan semangat patriotisme dan cintakan negara, menyediakan masa depan yang lebih baik untuk orang muda, dan BN akan mengotakan apa yang dijanjikan. BERNAMA

Artikel Lain