suria

PRU-13: Rakyat Johor Masih Sokong BN, Harap Tidak Terlalu Selesa Dengan Kubu Kuat Parti

MUAR: Majoriti penduduk di Johor masih kekal menyokong kuat kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah lama memerintah negeri itu, biarpun dikatakan akan berlaku perubahan angin politik pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diadakan pada 5 Mei depan.

Kebanyakan penduduk di beberapa daerah di Johor yang ditemui menyatakan sokongan padu mereka terhadap kepimpinan BN, namun berharap komponen parti itu tidak terlalu selesa dan leka dengan kedudukan negeri itu sekarang.

Salah seorang penduduk, Abdul Latif Baba, 59, mengakui kepimpinan BN sudah terbukti menjadikan Johor sebagai negeri yang maju dari segala sudut dan kemudahan infrastruktur berbanding negeri-negeri lain.

"Sudah tentu kami menyokong parti Umno kerana ia sudah membuktikan mampu memberi kemajuan pada negeri ini, namun begitu ia mungkin bagi pengundi seusia saya tetapi tidak bagi pengundi muda yang lebih suka melihat perubahan.

"Pada pendapat saya biarpun masyarakat Melayu di sini masih setia kepada Umno namun kepercayaan perlu dibalas dengan kesungguhan parti, mereka tidak boleh sambil lewa kerana menganggap berada di zon selesa," katanya pada tinjauan yang dibuat mStar Online, di sini, Rabu.

Sementara itu, bagi Suhaila Sulaiman, 39, yang berasal daripada Batu Pahat berkata, golongan belia mahu melihat pembaharuan yang dibawa oleh BN jika diberi mandat lagi untuk memerintah.

"Saya tidak banyak campur urusan politik kerana di Johor sudah selesa dengan pemerintahan BN, tapi kalau boleh kita mahu juga melihat apa lagi yang BN boleh lakukan kepada golongan seperti kami.

"Sebagai seorang usahawan wanita saya yakin dengan pemerintahan BN dan berharap ia tidak menghampakan kami," katanya yang merupakan pemilik sebuah produk kesihatan.

Suhaila juga mengakui sebilangan golongan belia yang bergiat sebagai ushawan kecil-kecilan mengharapkan pemerintah yang mampu memberi masa depan terhadap kerjaya mereka.

Dalam pada itu, Tan Ah Loon, 37, berharap agar mana-mana kerajaan yang dipilih untuk menerajui negeri itu dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan baik.

"Saya tidak kisah siapa juga yang jadi pemerintah, apa yang penting kita hidup seperti sekarang aman dan harmoni dan kalau boleh mengharapkan yang lebih baik dari sekarang.

"Pengundi sekarang sudah bijak memilih, jadi kita lihat siapa yang bagus kita akan undi," katanya.

Bagi Hasnah Marikan, 29, mahukan kerajaan BN sebagai pemerintah di Johor kerana tidak percaya terhadap perubahan politik yang dijanjikan pihak pembangkang.

"Saya bekerja di Selangor tapi mengundi di Johor Baru tapi apa yang terjadi di negeri Selangor dan negeri-negeri lain yang diperintah pembangkan membuatkan saya kurang percaya dengan mereka.

"Saya harap masyarakat Johor tidak tertipu dengan janji mereka, lihat huru-hara yang terjadi di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang dan sepatutnya dijadikan teladan," katanya.

Artikel Lain