suria

Polis Kenal Pasti Kumpulan Pelajar Sekolah Menengah Buli Junior

GEORGE TOWN: Polis mengenal pasti sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah di Jelutong di sini yang terbabit dalam kejadian pergaduhan dengan dua pelajar tingkatan dua sekolah yang sama Khamis lepas dan Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata pihaknya akan merekodkan keterangan semua pelajar berkenaan dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Kita menerima dua laporan polis daripada dua pelajar lelaki sekolah berkenaan semalam yang mendakwa dipukul sekumpulan pelajar lain dalam kejadian berasingan pada Khamis dan semalam.

"Kedua-dua kejadian buli itu berlaku kira-kira 12 tengah hari di kantin sekolah, yang dilakukan oleh kumpulan yang sama iaitu kira-kira 15 pelajar," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Beliau berkata akibat kejadian itu, dua remaja cedera dan menerima rawatan lanjut di Hospital Pulau Pinang.

"Polis juga sedang menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital untuk melengkapkan siasatan. Kita menjangkakan kertas siasatan akan dihantar ke pejabat pendakwa raya selewat-lewatnya Jumaat ini," katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, kata Gan.

Menurut Gan, siasatan awal mendapati kejadian itu tercetus akibat pertelingkahan dan perang mulut antara pelajar tingkatan dua terbabit dengan sekumpulan pelajar senior.

Katanya, hasil pertemuan dan perbincangan antara polis, pihak sekolah dan pelajar serta waris pelajar yang terlibat hari ini, berjaya mendamaikan kedua-dua pihak.

Beliau turut menegaskan kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan samseng. - BERNAMA

Artikel Lain