suria

Media Jalin Pakatan Sempena PRU13

KUALA LUMPUR: Empat akhbar dengan kerjasama Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) dan Malaysian Reserve bersatu bagi menjalin pakatan media semasa perjalanan kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Empat akhbar masing-masing daripada berlainan bahasa itu ialah Sinar Harian, Oriental Daily News, The Malay Mail dan Makkal Osai.

Presiden Ideas Tunku Zain Al-'Abidin ibni Tuanku Muhriz berkata kerjasama ini akan memberi pakatan media itu kelebihan untuk mendapatkan liputan pilihan raya lebih menyeluruh di samping membolehkan mereka mendapat berita lebih pantas dan maklumat tepat pada hari penamaan calon dan pengundian.

"Selain itu kami mahu memberi rakyat berita tentang semua sektor komuniti meliputi seluruh negara dari Semenanjung Malaysia hingga ke Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen pakatan media di sini Selasa.

Katanya selain maklumat tentang PRU13, pihaknya turut menyasarkan untuk menyalurkan sebanyak mungkin maklumat berhubung calon yang akan bertanding pada PRU13.

"Selain itu, kami juga mahu idea pakatan media menjadi relevan pada masa depan, apabila walaupun selepas PRU13 jika kami mahu meneruskan usaha ini, kami akan melaksanakan peranan untuk menubuh atau meneruskan laman portal," katanya.

Beliau berkata anggota pakatan itu akan menggunakan saluran media masing-masing seperti media cetak dan dalam talian untuk membangkitkan kesedaran tentang jalinan kerjasama itu dan menarik pembaca ke portal pilihan raya.

Platform pakatan media cetak dan laman portal itu akan bermula esok.

Malaysian Reserve akan menyediakan perspektif perniagaan berkaitan pilihan raya.

Ideas yang dilancarkan secara rasmi pada 8 Feb 2010, adalah badan pertama di Malaysia yang menyediakan badan pemikir pasaran bebas khusus untuk mempromosi kedaulatan undang-undang, kerajaan terhad, pasaran bebas dan individu merdeka. -BERNAMA

Artikel Lain