suria

Mahkamah Rayuan Perintah Bomoh Cabul Pelajar Mahu Rawatan Histeria Dipenjara

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memerintahkan seorang bomoh menjalani hukuman penjara sembilan bulan bagi dua pertuduhan mencabul seorang pelajar perempuan yang mendapatkan rawatan untuk histeria di rumahnya pada 2005.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali membuat keputusan itu sebulat suara selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang melepas serta membebaskan Mohd Yazid Yahaya, 54, daripada kedua-dua pertuduhan.

Mohd Yazid didakwa melakukan kedua-dua kesalahan terhadap mangsa, yang ketika itu berusia 17 tahun dan merupakan rakan anak gadisnya, di Bukit Jambul, Pulau Pinang pada 8 dan 11 Mei, 2005.

Panel itu, yang turut dianggotai Datuk Linton Albert dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, mengembalikan keputusan Mahkamah Majistret mensabitkan tertuduh atas kedua-dua pertuduhan serta hukuman penjara enam bulan bagi kesalahan pertama dan sembilan bulan bagi pertuduhan kedua.

Mohamed Apandi memerintahkan Mohd Yazid menjalani hukuman itu secara serentak mulai Rabu.

Mohd Yazid sebelum ini dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan kes.

Dalam penghakimannya, Mohamed Apandi berkata isu yang perlu diputuskan ialah sama ada Mahkamah Majistret melakukan kesilapan kerana didakwa gagal memenuhi kehendak Seksyen 257 Kanun Tatacara Jenayah iaitu menjelaskan prosedur kepada seorang tertuduh yang tidak diwakili peguam.

"Berdasarkan fakta kes, mahkamah ini mendapati tidak ada kesilapan yang dilakukan," katanya.

Mohamed Apandi berkata, pada prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen, Mohd Yazid menyoal balas saksi pendakwaan dan ini menunjukkan tertuduh memahami prosedur yang berkaitan. - BERNAMA

Artikel Lain