suria

Kastam KLIA Tumpas 8 Cubaan Seludup Dadah Bernilai RM3.6 Juta

PUTRAJAYA: Menyembunyikan dadah dalam peralatan senaman adalah antara modus operandi (MO) terkini penyeludup dadah yang dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, MO itu diguna seorang daripada enam warga asing yang diberkas kastam sejak 15 Mac hingga semalam yang menyaksikan 39.8 kilogram dadah bernilai RM3.6 juta dirampas.

Dalam kes terkini pada 4 April, seorang lelaki warga India berusia 29 tahun diberkas selepas kastam mengesan dadah jenis ketamin seberat 10.55 kg bernilai RM369,250 disorok dalam peralatan senaman yang dibawanya, kata Chik Omar pada sidang media, di sini Rabu.

Menurutnya, lelaki itu pernah bekerja sebagai tukang masak di Sabah dan ini merupakan kali ketiga suspek memasuki negara ini.

Beliau berkata, pada hari sama kastam menahan seorang wanita warga Nepal di Terminal Penerbangan Tambang Murah sejurus tiba dari Kathmandu selepas dikesan membawa dadah jenis methamphetamine seberat 2.68 kg bernilai RM509,200 di dalam bagasinya.

Wanita berusia 38 tahun itu ditahan pada pukul 11.30 malam ketika cuba melepasi kawalan kastam, katanya.

Pada hari berikutnya, kastam menahan seorang lelaki warga India berusia 30 tahun di sebuah hotel di ibu negara selepas menemui dadah jenis amphetamine seberat 5.05 kg bernilai RM959,000 di dalam bagasi yang tiba di KLIA dan sepatutnya dihantar kepada lelaki berkenaan.

"Ini adalah hasil maklumat orang awam yang melaporkan terdapat penghantaran bagasi kepada seorang pemilik (lelaki warga India) di sebuah hotel dan kami bertindak segera memberkas lelaki itu," katanya.

Selain itu, kastam juga berjaya merampas methamphetamine seberat 0.41 kg bernilai RM77,900 yang disorokkan di dalam empat pasang kasut wanita yang dihantar menerusi bungkusan di Pusat Mel dan Kurier (PMK) KLIA pada 2 April lepas.

"Juga pada 29 Mac lepas, menggunakan MO yang sama (bungkusan), kami berjaya mengesan sebuah kotak yang di dalamnya terdapat satu bungkusan plastik mengandungi serbuk kristal putih iaitu dadah jenis ketamin seberat 1.0 kg bernilai RM35,000 di PMK," katanya.

Chik Omar berkata, pihaknya juga berjaya mengesan satu bungkusan mengandungi tiga tin susu tepung yang berisi dadah jenis methamphetamine seberat 3.8 kg bernilai RM722,000 di PMK pada pukul 3.30 petang 16 Mac lepas, katanya.

Katanya, pada 20 Mac lepas, kastam KLIA menahan seorang lelaki warga India berumur 31 tahun susulan penemuan dadah jenis ketamin seberat 14.05 kg bernilai RM491,750 yang disorokkan di dalam bagasinya.

Selain itu, kastam juga berjaya memberkas seorang lelaki berusia 29 tahun dan kakaknya, 35 tahun, serta merampas dadah jenis methamphetamine seberat 2.26 kg bernilai RM429,400 yang disorok di dalam bagasi dibawa mereka.

Menurut Chik Omar sepanjang Januari hingga 9 April lepas, kastam KLIA berjaya menggagalkan 22 kes penyeludupan dadah bernilai RM16.2 juta. - BERNAMA

Artikel Lain