suria

BN P. Pinang Desak MPPP Dedah Kontrak Perjanjian Projek SPICE

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang mendesak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mendedahkan kontrak perjanjian dengan pemaju hartanah, SP Setia Bhd Group berhubung projek pembangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE) di Relau dekat sini.

Pengerusinya, Teng Chang Yeow berkata isi kandungan kontrak perjanjian projek pembinaan SPICE di tapak Pusat Arena Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) itu perlu didedahkan kerana tanah berkenaan adalah hak rakyat di negeri ini.

"Tapak tanah itu adalah milik rakyat dan MPPP, tapi mereka (kerajaan negeri) buat macam datuk mereka punya. Mereka perlu buktikan ketelusan SP Setia dan MPPP. Kita minta MPPP keluarkan kontrak yang ditandatangani dengan SP Setia," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan borang keanggotaan baharu Gerakan cawangan Bayan Baru, dekat sini malam Selasa.

Pada majlis itu, sebanyak 106 borang permohonan keanggotaan baharu diserahkan oleh wakil mereka Khor Siang Beng kepada Teng. Turut hadir Pengerusi Gerakan Bayan Baru yang juga penyelaras Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak, Wong Mun Hoe.

Teng berkata pemberian tapak tanah terbabit kepada SP Setia adalah satu tindakan yang merugikan rakyat dan ia juga dilaksanakan tanpa perancangan.

Beliau berkata tindakan itu jelas berbeza dengan prinsip BN yang sentiasa mempunyai perancangan dan pelan jangka panjang sebelum melaksanakan sesuatu projek.

"Semua yang kita buat ada perancangan. Kami akan beritahu rakyat apa yang benar. Jadi, kena pilih BN sebab kita ada rekod pembangunan kita. Apa yang kita mahu laksanakan kita rancang terlebih dahulu. Inilah perkara yang kita perlu sampaikan kepada rakyat," katanya.

Mengenai keanggotaan baharu dalam parti Gerakan, Teng berkata perkembangan itu menunjukkan yang parti itu masih relevan di negeri ini.

Katanya sokongan yang diberi itu menunjukkan rakyat yakin dengan kemampuan BN memenangi semula Pulau Pinang daripada pakatan pembangkang. -BERNAMA

Artikel Lain