suria

Polis Kesan Saki-Baki Mayat Pengganas di Kg Tanduo

LAHAD DATU: Polis akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa untuk mengesan sekiranya terdapat saki-baki mayat pengganas yang ditanam di Kampung Tanduo, sejak kumpulan militan memasuki kampung itu 12 Februari lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang berkata unit anjing K9 akan dibawa ke sekitar kampung itu untuk mengesan lubang yang dijadikan kubur oleh pengganas berkenaan.

"Kita akan membuat tinjauan atau pemeriksaan kerana mungkin ada saki-baki mayat pengganas yang ditanam di sekitar kampung itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau beberapa lokasi insiden pencerobohan di Kampung Tanduo dekat sini.

Semalam, polis mengeluarkan 15 mayat termasuk seorang wanita dalam tiga lubang.

Tan sebelum itu membawa media ke beberapa lokasi insiden pencerobohan di kampung itu dan mendengar taklimat oleh Pegawai Turus Gerakan Pasukan Gerakan Am Sabah DSP Toipi Lamat.

Tan dalam pada itu berkata walaupun kawasan itu sudah boleh dikatakan bebas daripada anasir pengganas, pihak keselamatan sentiasa membuat pemantauan dan setakat ini belum ada perancangan untuk menamatkan operasi kawalan di situ. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain