suria

Mayat Lelaki Dengan Luka Di Kepala Ditemui di Pantai Teluk Likas

KOTA KINABALU: Polis menemui mayat seorang lelaki berumur 44 tahun dengan kesan kecederaan di kepala dan dalam keadaan tersembam di pantai Teluk Likas pada Selasa.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata laporan polis bertarikh 12 Dis 2012 adalah antara barang milik lelaki itu yang ditemui.

Beliau berkata berdasarkan laporan itu, lelaki terbabit dikenali sebagai Mohd Faisal Amilusin dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di bandar raya ini.

Dia membuat laporan polis selepas kehilangan MyKad tahun lepas.

Siasatan awal mendapati terdapat luka sedalam dua inci di kening kiri dan luka satu inci antara kedua-dua kening lelaki itu dipercayai disebabkan objek tajam, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

"Kami percaya lelaki itu dipukul, bagaimanapun kami masih menyiasat motif serangan," katanya.

Jauteh berkata anggota polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira 6.20 pagi.

Beliau berkata seorang lelaki berumur 34 tahun ditahan di kawasan Likas kira-kira 8.50 pagi untuk membantu siasatan susulan penemuan mayat itu.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain