suria

Manifesto BN Hasil Tinjauan Mesra Dan Maklum Balas Rakyat - Najib

KUALA LUMPUR: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dibentang Sabtu lepas telah dirangka dengan teliti melalui hasil tinjauan mesra serta pelbagai usaha bagi mendapatkan maklum balas daripada segenap lapisan rakyat di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin.

Perdana Menteri menerusi blog 1Malaysia berkata manifesto itu bukanlah satu manifesto yang direka dalam masa sehari hanya untuk memenangi hati pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Malah saya sendiri telah mengamalkan aktiviti turun padang untuk lebih memahami segala isu dan keutamaan rakyat daripada semua peringkat umur, pendapatan, tempat tinggal, bangsa dan agama.

"Kerana itulah manifesto ini realistik dan komprehensif bagi memenuhi keadaan sebenar rakyat di masa kini," katanya.

Dalam pada itu, Najib menegaskan bahawa asas kepada manifesto yang disifatkan sebagai Aku Janji kami kepada rakyat itu adalah kestabilan serta keharmonian negara yang berpanjangan.

Katanya segala kejadian, pengalaman, kesilapan, dan kejayaan yang lalu diambil iktibar dan dijadikan pedoman dalam meneruskan amanah yang akan dijunjung serta dilunaskan dengan sebaiknya.

Beliau berkata kejayaan Malaysia dalam pelbagai bidang sehingga hari ini jelas membuktikan kebolehan dan prestasi BN dalam menunaikan janji kepada rakyat sebelum ini.

"Pastinya ada ketidaksempurnaan selama ini, saya akui dan memohon maaf, namun ia menguatkan lagi keinginan kami untuk memperbaikinya demi masa depan Malaysia. Kali ini, kami usulkan 17 bidang utama sebagai janji dan komitmen kami seterusnya," katanya.

Oleh itu, Najib dengan rasa rendah diri menyeru rakyat agar yakin dengan kepimpinan beliau dengan memberi sokongan dan undi kepada pasukan beliau iaitu BN dan berjanji akan meneruskan perjuangan dengan memberi harapan kepada rakyat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dan makmur.

Beliau turut mengalu-alukan rakyat untuk mendapatkan ringkasan mengenai 17 intipati Manifesto BN yang diumumkan beliau di hadapan lebih puluhan ribu anggota dan penyokong BN di Stadium Putra Bukit Jalil dua hari lepas.

Katanya ringkasan intipati itu boleh didapati di laman blog beliau iaitu www.1malaysia.com.my/manifesto/ manakala teks penuh manifesto boleh dibaca di www.manifestopru13.com.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain