suria

Malaysia Bebas Jangkitan Selesema Burung - Noh Omar

PUTRAJAYA: Malaysia bebas daripada jangkitan selesema burung (H7N9) berikutan tiada tanda-tanda jangkitan wabak itu pada ternakan unggas di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Sehubungan itu katanya negara masih berstatus bebas 'highly pathogenic avian influenza (HPAI)' sejak 2 Sept 2007.

"Saya nak beri jaminan bahawa setakat kajian yang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, jangkitan H7N9 tidak ada di Malaysia. Kita masih bebas daripada semua jenis jangkitan influenza ini," katanya.

Noh bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan pihak berkuasa China yang melakukan lawatan dan pemeriksaan terhadap premis pemprosesan sarang burung walit tempatan, di kementeriannya di sini Selasa.

Katanya susulan laporan kes kematian akibat jangkitan H7N9 di Shanghai, Anhui, Jiangsu dan Zhejiang di China, Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa mendapatkan maklum balas daripada pihak berkuasa China untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai wabak penyakit itu.

Noh berkata Malaysia mengimport keratan daging ayam sejumlah 4,806 tan metrik dari utara China dan orang ramai tidak perlu bimbang kerana negara tidak mengimport keratan daging ayam dari kawasan lain di negara itu.

"Kita import dari kawasan utara China dan ayam kita import ini adalah ayam beku, tak boleh bawa penyakit ini," katanya. Jelasnya, tiada virus HPAI termasuk H7N9 dikesan berdasarkan 1,043 sampel yang telah diuji dan kesemuanya didapati negatif sejak Januari 2013 hingga kini.

Beliau juga berkata ayam dan produk ayam yang dibawa masuk ke Malaysia telah melalui prosedur pemeriksaan di loji atau rumah sembelih yang diiktiraf kerajaan dengan penyelarasan jabatan berkenaan bagi semua permohonan mengimport produk.

"Semua daging ayam, itik dan telur di pasaran sama ada daripada sumber tempatan atau import adalah selamat untuk dimakan," katanya. Bagaimanapun, Noh meminta penternak dan orang ramai segera melaporkan sebarang tanda-tanda jangkitan H7N9 ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar berdekatan.

Mengenai isu kenaikan harga ayam yang dilaporkan baru-baru ini, beliau berkata pemantauan terhadap harga ayam sehingga semalam menunjukkan harga ayam di ladang adalah RM5.40 sekilogram dan harga ayam di pasaran tidak boleh mencecah sehingga RM8 sekilogram, walaupun jika harga ayam dinaikkan.

Katanya ada beberapa faktor yang memungkinkan perkara itu berlaku, antaranya bekalan kurang tetapi berdasarkan laporan di ladang, bekalan ayam tidak kurang dan kemungkinan terdapat pihak yang menyorok ayam supaya bekalan kurang di pasaran.

"Daripada laporan di ladang, bekalan kita cukup dan kita sedang buat siasatan dan jika ada pihak tertentu yang mungkin simpan ayam supaya kurang di pasaran, itu mungkin menyebabkan harga ayam naik," katanya. Katanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan melakukan siasatan dan jika didapati penawaran ayam kritikal hingga menyebabkan harga naik, kerajaan akan menghentikan eksport ayam ke luar negara bagi memastikan bekalan ayam dalam negara mencukupi.

"Kita juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memastikan bekalan ayam mencukupi dan harganya tidak dinaikkan sewenang-wenangnya," tambahnya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain