suria

Kokain, Syabu Bernilai RM1.2 Juta Dirampas, Tiga Warga Asing Ditahan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim (kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur pada Isnin. -Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga warga asing dan merampas kokain dan syabu yang kesemuanya bernilai RM1.2 juta di ibu negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam Ahad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata warga asing itu berumur antara 32 dan 42 tahun yang terdiri dari dua warga Filipina dan seorang Nigeria.

Polis memberkas dua warga Filipina itu dan merampas 18 bungkusan plastik kokain seberat 3.01 kilogram bernilai RM900,000 di dalam sebuah bagasi dan disembunyikan dalam gulungan kertas faksimili, kertas pelekat dinding dan juga buku di sebuah hotel di Jalan Pudu kira-kira pukul 11.30 malam.

"Suspek dipercayai baru tiba dari Colombia ke Rio Janeiro melalui Dubai sebelum tiba ke KLIA. Keadaan suspek yang mencurigakan menyebabkan kami mengekori suspek sehingga ke hotel dan seterusnya memberkas mereka. "Kami percaya kokain tersebut untuk diseludup ke negara lain iaitu Hanoi, Vietnam dan mereka cuma singgah sebentar di sini di atas sebab-sebab tertentu," katanya pada sidang media di sini, Isnin. Pada hari yang sama, empat bungkusan plastik syabu seberat kira-kira 1.5 kilogram bernilai RM300,000 pula ditemui dalam sebuah bagasi seorang warga Nigeria yang baru tiba dari Kaherah.

Suspek dipercayai datang dari Abuja sebelum transit di Kaherah seterusnya ke KLIA.

"Kami dapati hasil pemeriksaan, beg tersebut telah diubah suai di bahagian dalam sebelah kanan dan kiri beg," katanya.

Noor Rashid berkata kesemua mereka kini ditahan reman sehingga 14 April untuk disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain