suria

Hishammuddin Nasihat Penduduk Sabah Tidak Percaya Khabar Angin

KLUANG: Menteri Dalam Negeri menasihatkan penduduk Sabah supaya tidak mempercayai khabar angin tentang keadaan keselamatan di pantai timur negeri itu dan sentiasa memperoleh pengesahan terlebih dahulu daripada pihak Polis Diraja Malaysia.

Menurut Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein keadaan keselamatan di pantai timur Sabah seperti di Lahad Datu, Semporna dan Tawau sudah bertambah pulih dan terkawal pada ketika ini.

"Saya berharap mereka tidak mendengar (mempercayai) khabar angin ini, 95 peratus daripada cerita sebegini adalah tidak benar. Jangan terpengaruh dengan cerita begini," katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra dengan petugas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Chamek di sini Selasa.

Beliau diminta mengulas laporan media Filipina mendakwa terdapat ratusan pengganas Kesultanan Sulu sedang bersiap sedia untuk menyeberangi perairan Sulu di selatan Filipina ke pantai timur Sabah bagi mencetuskan kekacauan.

Semalam, pasukan keselamatan negara menahan bot membawa 32 penceroboh bersenjata di Pulau Tambisan di perairan Lahad Datu.

Ditanya mengenai insiden penahanan penceroboh bersenjata semalam, Menteri Dalam Negeri itu berkata beliau belum mendapat laporan terkini mengenainya tetapi ia membuktikan pasukan keselamatan negara sentiasa bersiap sedia dengan segala kemungkinan.

"Kita tidak pernah mengambil mudah tentang soal keselamatan," kata Hishammuddin dan menambah, setakat ini pihak keselamatan negara telah menahan lebih 400 orang selain kira-kira 138 individu di bawah undang-undang khas keselamatan.

Selain itu beliau berkata pasukan keselamatan turut membunuh 68 pengganas Sulu yang menceroboh negara ini.

Menurutnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan ke Lahad Datu di dalam waktu terdekat ini untuk meninjau penubuhan ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) dan ESSZONE (Zon Selamat Sabah Timur). -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain