suria

Empat Pekerja Restoran Ditahan Salah Guna Dadah

KUANTAN: Empat pekerja yang berada di bawah pengaruh dadah diberkas di dalam sebuah bilik di sebuah restoran di Brinchang, Cameron Highlands pada Isnin.

Dalam serbuan 3.20 petang itu polis turut menemui satu bungkusan plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat 32.14 gram dan syabu 5.63 gram selain beberapa peralatan menghisap dadah.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata semua suspek berusia 16 hingga 40 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya.

"Semua suspek disahkan positif penyalahgunaan dadah jenis syabu dan heroin," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Beliau berkata serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands hasil maklumat awam.

Siasatan awal turut mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah termasuk melarikan diri dari sebuah pusat serenti di Kelantan.

Wan Mohd Zahari berkata polis pernah membuat serbuan ke atas premis berkenaan pada 8 April tahun lepas dan berjaya memberkas empat pekerjanya yang didapati terbabit penyalahgunaan dadah. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain