suria

PRU13: BN Sarawak Bersiap Sedia Berperang Melalui Media Sosial Dengan Pembangkang

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan kerenah pembangkang, yang dijangka menggunakan media elektronik dan media sosial dalam kempen mereka untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Datuk Seri Douglas Uggah Embas hari ini berkata BN Sarawak sedar tentang rancangan pembangkang untuk menggunakan media itu dan kini membuat segala persiapan yang diperlukan untuk menghadapinya.

"Kami sedar kita berada pada abad ke-21 dan gaya berkempen juga sudah berubah melalui penggunaan teknologi baharu. Kami sudah bersedia untuk menghadapi sebarang bentuk pendekatan yang akan digunakan pembangkang.

"Kami juga sudah bersedia untuk berperang melalui media sosial dengan cara kami sendiri untuk meyakinkan rakyat bahawa kami perlu dipilih untuk mentadbir negara ini untuk lima tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kerajaan persekutuan kepada Gereja All Saints Tabuan Dayak di sini.

Uggah berkata walaupun pembangkang menggunakan kemudahan itu, mereka sebenarnya tidak mempunyai isu untuk digunakan, terutama di Betong, kawasan parlimen yang beliau wakili sebelum pembubaran Dewan Rakyat baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau bercaya pembangkang akan terus memainkan isu tanah pribumi, di samping isu kaum dan agama, dalam cubaan mereka untuk menawan hati pengundi.

"Manifesto mereka pun tidak mengandungi perkara baharu. Jadi, apakah yang boleh diharapkan daripada mereka?" katanya.

Mengenai bantuan kepada gereja di Sarawak, beliau berkata sebanyak RM5 juta telah disumbangkan kepada 12 gereja di seluruh negeri ini dalam tempoh tiga tahun lepas.

Katanya bantuan itu sejajar dengan dasar inklusif yang diamalkan BN untuk memastikan semua golongan di negara ini yang memerlukan bantuan, akan memperolehnya daripada kerajaan.-BERNAMA

Artikel Lain