suria

PBT Diminta Turunkan Kain Rentang Hina Individu Di Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menurunkan kain rentang dan papan iklan yang menghina individu sepanjang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) di negeri ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tindakan itu bertujuan memastikan PRU-13 diingati sebagai pilihan raya penentu masa hadapan bukannya paling kotor dalam sejarah negara ini.

"Selaku Menteri Besar bagi kerajaan negeri sementara, saya telah meminta semua pihak berkuasa tempatan memantau untuk pastikan tiada perbuatan menurunkan bendera parti politik kecuali jika dipasang di tempat yang tidak selamat sehingga boleh mengganggu dan menghalang pengguna jalan raya.

"Begitu juga mana-mana kain rentang dan papan iklan yang dipasang di bahu-bahu jalan yang mengganggu pengguna jalan raya hendaklah dialih ke tempat sesuai.

"Saya juga telah mengarahkan PBT menurunkan kain rentang yang menghina pihak lawan serta menjatuhkan maruah seseorang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Abdul Khalid berkata penyokong kedua-dua pihak (pakatan pembangkang dan Barisan Nasional) hendaklah matang berpolitik dan menjadikan pilihan raya umum kali ini untuk melaksanakan hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

"Penting untuk kedua-dua pihak memastikan tiada insiden yang boleh menjurus kepada pergaduhan antara penyokong parti politik.

"Justeru, pemimpin dan penyokong mesti menjaga etika dan sentiasa mengutamakan keharmonian," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain