suria

Nambikei...Yakinlah BN, Kata PM Kepada Kaum India

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi meminta masyarakat India supaya meletakkan kepercayaan atau "nambikei" (yakin) dalam bahasa Tamil terhadap Barisan Nasional (BN) untuk memberi harapan yang lebih baik kepada masa depan mereka.

Perdana menteri berkata keyakinan masyarakat India terhadap agenda transformasi beliau adalah penting kerana undi masyarakat India boleh menjadi penentu pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Katanya sejak empat tahun beliau memegang tampuk pentadbiran negara, banyak program yang dilakukan untuk memberi pembelaan kepada kaum India, dan berharap masyarakat itu terus memberi mandat kepadanya.

"Berdasarkan nambikei, kita bukan sahaja dapat meneruskan program-program, tetapi dapat meningkatkannya lagi supaya masyarakat kaum India mendapat pembelaan yang lebih baik pada masa yang akan datang," katanya.

Najib berkata demikian dalam wawancara khas program 'Helo Malaysia' versi Tamil malam ini terbitan BernamaTV di saluran Astro502.

Wawancara itu dikendalikan wartawan Bernama, Michael Savarimuthu dan K.Ghandi.

Najib berkata era 'kerajaan tahu segala-galanya' sudah berakhir, oleh sebab itu, beliau sentiasa menggunakan pendekatan penglibatan dengan pelbagai pihak untuk merasai denyut nadi rakyat.

Katanya menerusi pendekatan itu, kerajaan akan dapat memahami apakah aspirasi rakyat, sekaligus akan dapat mengubah suai hala tuju dan juga dasar serta melahirkan program baharu yang boleh membawa kepada keberkesanan dalam usaha membantu masyarakat kaum India dan kaum lain di negara ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan membuka era baharu dalam usaha untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat India dengan memberi peluang lebih besar kepada mereka supaya mereka tidak berasa terpinggir.

Najib: "Saya merasakan suatu kepuasan sebab kita tidak pernah melakukan begini banyak usaha untuk membantu kaum India dan mengubah kehidupan ribuan masyarakat kaum India.

"Saya tertarik pada perkataan 'nambikei' ini sebab ia mencerminkan apa yang merupakan hasrat dalam parti saya iaitu kerajaan dengan masyarakat kaum India di Malaysia perlu memupuk satu bentuk persefahaman dan keyakinan sebagai jambatan

"Bagi pihak kerajaan, untuk kita mengetahui apakah sebenarnya impian dan kehendak masyarakat kaum India, berdasarkan daripada itu, kerajaan boleh bertindak dan respons dengan pelbagai program dan pelbagai bantuan untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat India," katanya.

Perdana menteri juga percaya, berdasarkan kepada usaha berterusan dan "nambikei" yang terjalin, tahap keyakinan masyarakat India terus dan akan meningkat pada masa-masa akan datang.-BERNAMA

Artikel Lain