suria

Kemelut Kuin: Umno Cabar MB Kedah Kemuka Bukti - Ahmad Bashah

ALOR SETAR: Umno Kedah mencabar Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengemukakan bukti kukuh Umno terlibat berhubung tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak membenarkan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) menggunakan bangunan di kampus baharunya sebagai penginapan sementara.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Azizan perlu mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan terhadap Umno dan permohonan maaf jika gagal mengemukakan bukti kukuh.

Beliau berkata pihaknya mahu bukti siapa antara anggota Umno yang membuat laporan kepada KPT hingga 1,000 pelajar Kuin terpaksa menginap di luar kampus akibat ketiadaan asrama.

"Kalau gagal kemukakan bukti Azizan perlu bertanggungjawab dan memohon maaf kepada seluruh ahli Umno atas tuduhan liar beliau. Ini bukan kali pertama Azizan buat tuduhan terhadap Umno. Selalu Azizan tuduh Umno jadi dalang di sebalik kemelut Kuin," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Azizan ketika berucap sempena pelancaran manifesto PRU-13 pakatan pembangkang khusus untuk Kedah di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut malam Sabtu lepas, berkata Umno adalah punca insiden lebih 1,000 pelajar Kuin terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara di beberapa lokasi di luar kampus baru Kuin di Kuala Ketil ekoran kemudahan asrama belum siap sepenuhnya.

Menteri Besar itu mendakwa kejadian itu berpunca kerana Umno membuat laporan kepada KPT sehingga cadangan pengurusan Kuin untuk menggunakan bangunan dalam kampus tersebut sebagai penginapan sementara tidak dapat dilaksanakan.

Azizan sebelum ini pernah menuduh kakitangan Kuin yang mengadakan demontrasi kerana tidak berpuas hati terhadap pemngurusan Kuin sebagai ejen Umno dan disangkal oleh kakitangan terbabit yang menyatakan mereka berjuang demi kepentingan kolej milik kerajaan negeri.

Ahmad Bashah berkata masalah kolej tersebut berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri mentadbir Kuin dengan baik dan bercita-cita tinggi 'tanpa mengukur baju di badan sendiri' menjadi punca timbul masalah di kolej itu.

Katanya taktik Azizan menyalahkan Umno itu juga adalah sebagai menyelamatkan diri daripada bertanggungjawab dengan segala masalah Kuin, terutama selepas menyedari masalah Kuin akan menjadi "mimpi ngeri" PAS Kedah sepanjang kempen pilhan raya ini.

"Azizan tahu Umno akan mainkan isu Kuin sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) kali ini. Sebab itu dia (Azizan) buat 'preemptive strike' (serangan terlebih dahulu) terhadap Umno.

"PAS sebenarnya sudah tidak tahu bagaimana hendak mengelak daripada serangan masalah Kuin," kata Ahmad Bashah. -BERNAMA

Artikel Lain