suria

Jangan Salah Guna Jawatan Bekas Penjawat Awam - Polis

KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran kepada parti politik agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan nama jawatan bekas penjawat awam yang tidak berkenaan bagi menarik orang ramai ke ceramah politik mereka.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata ini kerana polis mengesan ada pihak memaparkan jawatan yang berbeza dengan penceramah yang dimaksudkan bagi mengelirukan masyarakat.

Polis mengesan ada parti politik meletakkan nama bekas seorang pengarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada kain rentang untuk mempromosikan ceramah politik mereka, namun yang datang berceramah bukan individu berkenaan.

Perbuatan ini salah dan boleh dikenakan tindakan tegas, katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini.

Beliau merujuk kepada ceramah sebuah parti politik pada 21 Mac lepas yang meletakkan jawatan berbeza pada nama penceramah sedangkan penceramah dimaksudkan memegang jawatan lain ketika berkhidmat.

Mengulas lanjut, Ramli berkata perbuatan itu bukan sahaja menjejaskan imej jabatan berkenaan tetapi juga mengelirukan masyarakat yang mungkin menganggap penceramah mewakili jabatan terbabit.

Beliau juga menegaskan setiap bekas penjawat awam boleh berkempen atau memberi ceramah namun hanya atas pandangan peribadi.

Sementara itu, Ramli berkata semalam PDRM menerima 340 permohonan untuk mengadakan ceramah politik, perjumpaan dengan penyokong, kempen dan lain-lain.

Mengenai perbuatan khianat yang berkaitan dengan pilihan raya umum ke-13, Ramli berkata sembilan kes dilapor di Selangor semalam, membabitkan bakar bendera, turunkan kain rentang serta mematahkan kayu bendera.

"Polis ingatkan golongan muda supaya tidak bertindak sedemikian kerana jika ditangkap khususnya mereka yang masih belajar serta penjawat awam, ia boleh menjejaskan masa depan mereka," katanya.

Kes terkini berlaku di Beranang, Semenyih, Kajang membabitkan sekumpulan lelaki yang sedang memasang bendera sebuah parti telah dihalau dan diugut pukul oleh 30 lelaki, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain