suria

Jalan Baru Pasir Raja Ke Ulu Tembeling Dibina Tahun Ini

DUNGUN: Sebatang jalan raya akan dibina bagi menghubungkan kampung Pasir Raja dekat sini dengan Ulu Tembeling, Pahang sepanjang 27 kilometer melibatkan peruntukan kira-kira RM300 juta.

Anggota Jemaah Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Matulidi Jusoh berkata projek yang akan dimulakan tahun ini itu dijangka siap tahun depan, merancakkan lagi perkembangan ekonomi dan pembangunan kedua-dua tempat berkenaan.

"Ini berita gembira buat masyarakat daerah ini terutamanya penduduk Kampung Pasir Raja.

"Akhirnya mereka tidak lagi perlu menempuh perjalanan tiga hari dua malam untuk mengunjungi keluarga di Ulu Tembeling, Pahang.

"Mereka bakal menikmati perjalanan jauh lebih singkat apabila projek jalan raya menghubungkan dua kawasan di dua negeri itu akan dibina di situ tidak lama lagi dengan kos RM300 juta," katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah projek tanam baharu sawit pekebun kecil Kampung Pasir Raja dekat sini.

Matulidi yang juga anggota Parlimen Dungun berkata keputusan kerajaan membina projek tersebut, biarpun menelan kos yang besar semata-mata untuk menyediakan pembangunan ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Katanya sebelum ini nasib malang rakyat khususnya penduduk Kampung Pasir Raja, biarpun negara sudah 55 tahun merdeka, mereka sukar jumpa waris mereka yang tinggal di sebelah sana (Ulu Tembeling) berikutan perjalanan yang sukar dan jauh.

"Sekarang ini, untuk ke Ulu Tembeling, penduduk kena berjalan kaki selama tiga hari dua malam menempuh tujuh bukit dan lapan lurah untuk ke sana.

Matulidi berkata sebelum ini beliau sendiri kerap membangkitkan masalah perhubungan yang dihadapi penduduk kampung berkenaan untuk dibincangkan dalam sidang Parlimen.

Katanya sehinggalah pada sidang terakhir Parlimen sebelum ini, perkara itu dibangkitkan sekali lagi sebelum Parlimen memutuskan pelaksanaan projek jalan raya menghubungkan Kampung Pasir Raja ke Ulu Tembeling. BERNAMA

Artikel Lain