suria

Pembangkang Cari Kawasan Baru Kerana Rakyat Tolak Mereka - Tengku Adnan

PUTRAJAYA: Tindakan pemimpin pembangkang yang ingin mencuba nasib di kawasan baru pada pilihan raya umum ke-13 jelas menunjukkan mereka takut ditolak rakyat selepas gagal berkhidmat dan membawa pembangunan sejak 2008.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyifatkan langkah pemimpin pembangkang yang rata-ratanya mencari kawasan baharu yang selamat dan selesa sebagai tindakan pengecut menghadapi pengundi di kawasan asal.

"Mereka takut. Mereka berhijrah kerana tahu di tempat asal mereka tidak dapat sokongan kerana tak pernah berkhidmat. Mereka hanya pandai cakap, fitnah tetapi tidak pernah berkhidmat seperti mana yang dilakukan oleh wakil rakyat BN.

"Sebab itu mereka lari daripada kawasan asal. Mereka tidak boleh berdepan dengan rakyat. Kalau mereka bertanding semula di tempat asal, mereka akan ditolak rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bersama Komuniti Peringkat Wilayah Persekutuan anjuran Tenaga Nasional Berhad pada Sabtu.

Tengku Adnan, yang juga Anggota Parlimen Putrajaya, berkata rakyat yang memberi peluang kepada pembangkang pada pilihan raya lepas, kini ternyata menolak kepimpinan mereka selepas menyedari hanya kerajaan BN mampu menunaikan janjinya.

Beberapa pemimpin pembangkang, antaranya, penasihat DAP Lim Kit Siang melahirkan hasrat meninggalkan kerusi Parlimen Ipoh Timur untuk bertanding di Johor.

Begitu juga Ketua Pembangkang dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyuarakan keinginan meninggalkan Parlimen Permatang Pauh untuk bertanding di Perak.

"Kita cabar mereka bertanding semula di kawasan masing-masing, khususnya yang bertanding di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak. Kenapa nak lari," kata Tengku Adnan.

Beliau berkata, BN sedia menghadapi mana-mana calon pembangkang selepas membuktikan kemampuannya membawa pembangunan dan kejayaan sejak negara mencapai Merdeka lagi, dan rakyat yakin terhadap kepimpinan kerajaan BN. - BERNAMA

Artikel Lain