suria

Pembahagian Kerusi PR Dimuktamadkan Isnin Depan

PETALING JAYA: Perbincangan berhubung pertindihan kerusi di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) masih belum dapat dimuktamadkan apabila PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal mencapai kata sepakat walaupun mengadakan mesyuarat hampir setiap hari minggu ini.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, perkara tersebut akan diselesaikan dalam mesyuarat terakhir berhubung pembahagian kerusi oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang akan diadakan Isnin ini.

"Kita masih belum ada keputusan muktamad dalam pertindihan beberapa kerusi...tak banyak pun sebab 95 peratus dah selesai.

"Cuma ada satu dua kerusi sahaja belum diputuskan. Tunggu mesyuarat Isnin ini kita yakin semuanya dapat diselesaikan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Agihan Kerusi Pakatan Rakyat di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Jumaat.

Ditanya mengenai tindakan Pesuruhjaya PAS, Mohamad Noor Mohamad mengumumkan calon PAS bagi kerusi Parlimen Labuan, Hadnan Mohamad, Mustafa berkata perkara tersebut akan diselesaikan secepat mungkin.

"(Pertindihan) ini kita harap dapat diselesaikan Isnin ini," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Berhubung pembahagian kerusi yang telah diputuskan dikalangan komponen Pakatan Rakyat, beliau juga berkata tunggu Isnin ini.

Pada Khamis, Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng berkata pembahagian kerusi Pakatan Rakyat akan diselesaikan pada Jumaat.

Artikel Lain