suria

Manifesto BN: Janji Tingkatkan Keupayaan PDRM, ATM Dan APMM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mempertingkatkan keupayaan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman, selesa dan selamat.

BN dalam manifestonya bertemakan 'Rakyat Didahulukan' dilancarkan Pengerusinya Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam Sabtu adalah antara usaha membanteras jenayah dan juga menangani apa jua bentuk pencerobohan dan ancaman luar.

Bagi meningkatkan keupayaan, BN berjanji akan menambah 4,000 anggota polis setiap tahun dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan diperkukuhkan dengan menambah 5,000 lagi kenderaan, selain memperkuatkan Suruhanjaya Polis.

BN juga berjanji untuk menambah 50,000 anggota pasukan sukarelawan simpanan polis bagi membantu PDRM membuat rondaan dan menjadikan kawasan persekitaran lebih selamat.

Bagi mengurangkan jenayah, BN berjanji mewujudkan program Safecam untuk menghubungkan sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) swasta dan awam di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sebagai titik panas.

Penggunaan CCTV akan diperluaskan bagi memantau kawasan-kawasan laluan awam yang sibuk seperti kawasan parkir, kawasan riadah, pasar malam dan sekolah kerajaan, selain memasang lampu di jalan-jalan, lorong-lorong dan laluan lain bagi menurunkan kadar jenayah jalanan.

BN juga turut berjanji untuk memperkenalkan inisiatif keselamatan di kawasan skim perumahan dan menggunakan sistem 6P untuk mengekang kedatangan pendatang asing tanpa izin. - BERNAMA

Artikel Lain