suria

Lahad Datu: KP Esscom Lawat Kampung Terjejas

LAHAD DATU: Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek pada Sabtu meninjau kampung yang terjejas akibat pencerobohan pengganas militan di kawasan Zon Tanjung Labian di Tungku.

Tiga kampung yang dilawati bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman ialah Tanjung Labian, Tanjung Batu dan Tanigian.

Mohammad berkata lawatan itu bagi membolehkan beliau melihat sendiri kerosakan harta benda yang dialami penduduk disebabkan insiden itu dan pada masa sama dapat beramah mesra dengan penduduk kampung.

Kerosakan harta benda terutama membabitkan rumah akan dikendalikan Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Daerah Lahad Datu, katanya.

"Ini adalah program turun padang pertama saya ke kampung yang terjejas akibat insiden pencerobohan itu," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai lawatan itu.

Penubuhan ESSCOM yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bagi mengawal pantai timur Sabah berikutan insiden pencerobohan militan dari selatan Filipina di negeri itu. - BERNAMA

Artikel Lain