suria

Samun Kedai 24 Jam: Polis Tahan 11 Individu Termasuk Ketua Kumpulan Geng Nizam

MELAKA: Polis berjaya menumpaskan 'Geng Nizam' yang aktif melakukan jenayah samun kedai 24 jam sekitar daerah Melaka Tengah sejak Januari lepas dengan penahanan 11 anggota kumpulan itu, termasuk dua wanita.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata suspek yang ditahan berusia antara 19 dan 30 tahun, termasuk ketua kumpulan dikenali sebagai Nizam, di beberapa rumah sekitar kawasan Tanjung Minyak, Taman Krubong serta Taman Rambai Utama dalam tempoh tiga hari bermula Selasa.

"Kita percaya dengan penahanan tersebut, sebanyak 11 kes samun membabitkan Kedai 7-Eleven, hotel bajet dan serbaneka 24 jam yang dilaporkan sejak awal Januari lepas dengan anggaran kerugian berjumlah RM15,000," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar, Jumaat.

Beliau berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 27 tahun yang pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat di Taman Krubong kerana kesalahan samun pada Selasa pukul 3 pagi.

Ketua kumpulan berusia 24 tahun, yang juga bekas tahanan ordinan sama, pula ditahan di Taman Rambai Utama semalam pada 1 petang.

Salehhudin berkata seorang daripada wanita yang ditahan merupakan warga Indonesia berusia 26 tahun, dan pihaknya sedang menyiasat ketulenan pas lawatan sosial suspek yang memasuki negara ini sejak sebulan lepas.

Beliau berkata pihaknya turut merampas peralatan yang dipercayai diguna untuk melakukan samun termasuk sebilah parang, dua pedang samurai, 10 telefon bimbit, lima motosikal termasuk satu yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, tiga topi keledar, dua walkie-talkie, tiga komputer riba dan tiga kereta.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata serta Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana positif dadah jenis methamphetamine, katanya.

Salehhuddin berkata siasatan mendapati kumpulan itu aktif melakukan jenayah samun bermula lewat tengah malam hingga awal pagi selain bertindak agresif mengugut mangsa menggunakan pedang dan parang.

"Antara barangan yang disamun di premis 24 jam terbabit ialah rokok, wang tunai dan barangan milik pekerja seperti komputer riba," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain