suria

PM Umum Tiga Inisiatif Pembangunan Di Cyberjaya

CYBERJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengumumkan pelaksanaan projek pembangunan bercampur yang membabitkan pembinaan 2,500 unit kediaman dan komersil, termasuk 749 unit yang dikhususkan kepada Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), bernilai RM1.02 bilion di sini.

Beliau turut mengumumkan dua lagi pembangunan dalam bandar di Lembah Silikon Malaysia ini yang terdiri daripada projek pembinaan masjid bernilai RM62 juta dan rancangan pembangunan Cyberjaya City Centre yang bernilai kira-kira RM6 bilion.

Najib berkata beliau sentiasa menekankan kepada usaha memastikan bahawa kos rumah untuk rakyat dalam kategori profesional dan berpendapatan sederhana, perlu berada dalam lingkungan harga yang mampu dimiliki mereka.

"Kita tidak boleh membiarkan pasaran menentukannya, dan kerajaan boleh melakukan intervensi secara positif dalam perkara ini," katanya semasa berucap pada majlis pecah tanah Masjid Cyberjaya itu Jumaat.

Beliau berkata unit kediaman PR1MA yang ditawarkan pada harga antara RM220,000 dan RM250,000 itu nanti akan membolehkan pemiliknya mendapat peningkatan nilai tambah aset secara serta merta.

"Inilah usaha yang dilakukan kerajaan, selain memberi peluang kepada orang ramai memiliki rumah, ini juga mesti dilihat sebagai saha menjana kekayaan kepada rakyat," katanya.

Pembangunan bercampur di kawasan seluas 50 hektar yang terletak di Cyber 9 itu dibahagikan kepada empat fasa, dan ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2016, dengan fasa pertama bermula tidak lama lagi.

Merujuk kepada pembangunan masjid pula, perdana menteri berkata masjid yang boleh memuatkan 8,500 jemaah itu bakal menjadi masjid pertama di Malaysia yang direka mengikut garis panduan MS1525 dan Green Building Index yang menekankan kepada penggunaan bahan binaan mesra alam dan tenaga efisien.

Najib berkata ia bukan saja mencerminkan gambaran Islam sebagai agama persekutuan dan pengabdian kepada Allah, tapi juga melambangkan Islam sebagai agama progresif yang menekankan kepada penguasaan ilmu dan teknologi.

Masjid seluas 95,000 kaki persegi di atas kawasan seluas 6.9 hektar itu juga akan dilengkapi dengan sebuah dewan serbaguna serta pelbagai kemudahan lain, dan ia dijangka siap pada tahun 2015.

Cyberjaya City Cente pula meliputi pembangunan di kawasan seluas 57 hektar dengan nilai kasar pembangunannya sekitar RM6 bilion, bagi menyokong pembangunan bandar Cyberjaya yang menyediakan unit-unit bangunan komersil, kediaman dan pejabat korporat. Ia dibangunkan oleh Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) dengan kerjasama SP Setia Bhd.

Najib berkata Cyberjaya yang menjadi hab ICT negara merupakan antara komponen penting kepada pencapaian objektif dan matlamat Pelan Transformasi Ekonomi Negara yang diusahakan kerajaan.

Beliau berkata kini Cyberjaya menjadi pilihan kepada lebih 700 syarikat, termasuk 35 syarikat multinasional untuk menempatkan pangkalan operasi mereka, dan menurutnya kehadiran syarikat-syarikat yang berteraskan ICT ini banyak membantu mencetuskan suasana dan persekitaran yang inovatif serta kreatif di Cyberjaya.

Bagaimanapun perdana menteri menekankan bahawa usaha membangunkan Cyberjaya sebagai bandar silikon termoden hanya akan menjadi kenyataan sekiranya kerajaan Barisan Nasional terus diberi mandat menerajui negara.

Beliau bimbang usaha itu turut terbantu jika isu air (pelaksanaan projek loji air Langat 2) di Selangor sejak sebelum pembubaran Dewan Rakyat lagi tidak selesai ekoran kerajaan pimpinan pakatan pembangkang di negeri itu enggan memberi bekerjasama.

"Semua ini untuk manfaat rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan. Kalau masalah ini tidak dapat diselesaikan ia akan menggagalkan lakaran impian indah yang saya gambarkan untuk Cyberjaya," katanya.

Perdana menteri yakin sebagai rakyat yang mementingkan pembangunan masa depan negara yang cerah dan makmur, pastinya rakyat akan membuat pemilihan tepat terus menyokong BN pada pilihan raya umum nanti.

Sementara itu Pengerusi Cyberview Sdn Bhd Datuk Seri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata kesinambungan kerajaan pimpinan Najib penting dari segi fasiliti infrastruktur yang akan dibina kerajaan, terutama pembekalan air bersih untuk industri ICT di sini.

Cyberview dalam satu kenyataan berkata pembangunan di kawasan itu secara keseluruhannya dalam tempoh lima tahun akan datang dijangka sekitar RM20 bilion, dengan RM8 bilion membabitkan pelaburan pihaknya.

Jumlah pelaburan di Cyberjaya sejak 1997 sehingga kini ialah RM32 billion.

Cyberview merupakan syarikat milik kerajaan yang dibangunkan pada tahun 1996 sebagai pemilik tanah di Cyberjaya, bandar ICT di Lembah Silikon Malaysia yang merupakan agenda utama dalam pelaksanaan Koridor Raya Multimedia negara (MSC Malaysia). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain