suria

Nasib Jui Meng Di Tangan DAP?

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) membayangkan untuk mempertaruhkan nasib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng di salah satu kerusi Parlimen milik sekutu mereka iaitu DAP.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Mohamed Azmin Ali bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada hasil perbincangan beliau dengan DAP.

"Kita hargai perjuangan Datuk Chua di Johor, menerusi pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengannya pada malam Rabu lalu, kita ada buat beberapa tawaran kepadanya.

"Kita juga akan bincang dengan DAP dan saya yakin ia dapat diselesaikan dengan baik dan tertib," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Jumaat.

Sehingga kini kesemua 11 kerusi milik PKR sudah mempunyai calon.

Pada 2008, PKR bertanding di 12 kerusi Parlimen di Johor namun kurang satu kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PKR-13) kali ini selepas menyerahkan kepada DAP.

Beliau mengulas mengenai nasib Chua yang terlepas peluang bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah yang dilobinya sejak menyertai PKR.

Chua 'menghilangkan' diri selama dua minggu sejak Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengumumkan hasratnya pada 18 Mac lalu untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah.

Tindakannya itu dilihat sebagai 'protes senyap' terhadap kepimpinan partinya yang memberi laluan kepada DAP bertanding di kerusi tradisi PKR.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Bakri sebelum digugurkan sebagai calon Barisan Nasional pada 2008, dilihat berharap untuk bertanding semula di kerusi yang pernah disandangnya serta kerusi Gelang Patah pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum Lim mengumumkan hasratnya, ketegangan antara pakatan pembangkang lebih awal berlaku apabila Chua dan ketua DAP Johor, Dr Boo Cheng Hou juga bertelagah merebut kerusi Gelang Patah.

Artikel Berikut

Artikel Lain