suria

Mayat Murid Lemas Ditemui Di Sungai Paitan

BELURAN: Mayat seorang murid lelaki tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan ditemui di Sungai Paitan berhampiran Kampung Kobambangan di Paitan pada Jumaat.

Mangsa, Mohd Rafdi Jamal, 8, lemas selepas bot yang dinaikinya bersama tujuh tujuh murid dan pelajar dari SK Simpangan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpangan karam kira-kira pukul 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Beluran DSP Sivanathan Velautham berkata mayat mangsa ditemui pada pukul 11 pagi oleh penduduk kampung tidak jauh dari kawasan bot tersebut dilaporkan karam.

Katanya mangsa merupakan antara lapan murid SK Simpangan dan pelajar SMK Simpangan berusia antara lapan hingga 17 tahun menaiki sebuah bot untuk pergi ke sekolah dan dikemudi oleh seorang wanita berusia 35 tahun.

Menurutnya wanita berkenaan bersama tujuh penumpang berjaya menyelamatkan diri dan kemudian dibantu oleh penduduk kampung.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Kobambangan, Lingam Jinal memberitahu Bernama murid yang lemas itu adalah anak kepada Jamal Bin Abok, penjaga Dewan Kampung Kobambangan.

Katanya kejadian berpunca tindakan pelajar yang melompat dari bot itu untuk naik ke jeti di pangkalan kampung itu, menyebabkan bot itu karam dan beberapa murid yang masih berada di dalam bot terjatuh ke dalam sungai. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain