suria

Mahkamah Rayuan Kekal Hukuman Penjara 13 Tahun Terhadap Penculik Ibu Dan Anak

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menyifatkan dua lelaki bernasib baik kerana terlepas hukuman mati atau penjara seumur hayat kerana menculik seorang ibu dan anak lelakinya yang berusia enam tahun bagi menuntut tebusan sebanyak RM2.03 juta pada 2008.

Hakim Datuk Azahar Mohamed, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata ini kerana pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan terhadap pekerja pub, Ng Kim Low, 54, dan penghantar minuman Tang Kok Peng, 55, yang membawa hukuman lebih ringan.

Beliau berkata pertuduhan asal mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 terhadap tertuduh membawa hukuman mati atau penjara seumur hayat, jika sabit kesalahan.

"Kami bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa kesalahan yang kamu berdua lakukan adalah serius. Berdasarkan keadaan kes, hukuman penjara 13 tahun bagi tiga pertuduhan pilihan itu bukanlah sesuatu yang berlebihan," katanya.

Azahar berkata fakta kes mendedahkan tertuduh menculik mangsa ketika mereka dalam perjalanan pulang dari tadika yang menyaksikan Ng dan Tang menggunakan kekerasan dengan mengacukan pistol ke arah dua beranak itu.

"Anda dan rakan lain juga terlibat dengan tindakan memeras ugut suami mangsa untuk membayar wang tebusan," katanya ketika menolak rayuan tertuduh berhubung hukuman penjara terhadap mereka.

Azahar berkata Mahkamah Tinggi juga mengambil kira rayuan Ng dan Tang serta kepentingan awam sebelum menjatuhkan hukuman.

Bagaimanapun, panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Linton Albert dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, mengetepikan hukuman sebatan mereka kerana kedua-dua tertuduh berusia lebih 50 tahun ketika dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi.

Ng dan Tang masing-masing dihukum penjara berjumlah 13 tahun serta tiga sebatan oleh Mahkamah Tinggi Johor Baharu pada 11 Julai 2011 selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Culik 1961.

Mereka masing-masing dihukum penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua, tujuh tahun dengan tiga sebatan bagi pertuduhan ketiga serta diperintah menjalani hukuman itu secara berasingan.

Turut didakwa bersama mereka ialah Lim Cheng Yong, 42, dan Ching Siong Huat, 46, yang masing-masing dihukum penjara berjumlah enam tahun selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan menculik mangsa.

Mahkamah Rayuan turut diberitahu bahawa polis berjaya mendapatkan kembali sejumlah RM1.7 juta wang tebusan daripada penculik.

Ng dan Tang diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal manakala Timbalan Pendakwa Raya Nadia Hanim Mohd Tajuddin mengendalikan pendakwaan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain