suria

BN Umum Manifesto Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan manifesto mereka pada malam Sabtu ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata majlis tersebut akan diadakan di Dewan Tertutup Stadium Putra Bukit Jalil.

"Kali ini kita umum calon lebih awal kerana kita mahu setiap calon boleh buat persediaan awal. Kita juga hendak manifesto kita dapat difahami dan dihayati oleh rakyat.

"Manifesto ini merupakan aku janji kita kepada rakyat dengan mandat yang akan diberikan. Kita akan beri komitmen tentang apa yang BN akan lakukan serta pembaharuan yang akan dilaksanakan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn pada Khamis.

Terdahulu Najib turut mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada sebelah pagi.

Najib berkata manifesto yang akan diumumkan BN nanti akan berpaksikan matlamat 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

"Kita akan ada dua manifesto satu di peringkat pusat dan satu lagi peringkat negeri. Bagaimanapun manifesto pusat akan jadi manifesto induk sementara manifesto peringkat negeri akan menumpukan kepada isu khusus seperti di Selangor isu air sementara Kelantan isu stadium, masjid dan lebuh raya," katanya.

Najib yang juga Presiden Umno bagaimanapun enggan mengumumkan senarai nama calon sebaliknya beliau menegaskan ia akan diumumkan lebih awal daripada kebiasaannya.

"Tunggu la dulu satu-satu...saya tak akan beritahu sekarang kita perlu ada elemen kejutan barulah seronok," katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan BN akan merampas kembali majoriti dua pertiga di Parlimen bagaimanapun semua pihak perlu bekerja keras serta memastikan masalah dalaman parti dapat diminimumkan.

Berhubung dakwaan pembangkang akan melakukan provokasi pada hari pengundian, Najib berkata beliau berharap mereka tidak melakukan perkara tersebut.

"Kita perlu hormati proses pilihan raya. Membenarkan rakyat membuat pilihan mereka secara bebas dan terbuka.

"Bukannya menghalang mereka dan menakutkan mereka untuk keluar mengundi," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain