suria

Tiga Lelaki Bertopeng Larikan Mesin ATM Di Putra Heights

PETALING JAYA: Sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini dilarikan tiga lelaki bertopeng dalam kejadian awal Khamis.

Menurut sumber, dalam kejadian pukul 3.44 pagi itu, ketiga-tiga suspek menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk menarik mesin tersebut sebelum memasukkannya ke dalam MPV berkenaan dan melarikan diri.

Suspek sebelum itu menyembur cat pada dua kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan bagi mengelakkan identiti mereka dikesan.

Ketika kejadian terdapat seorang pengawal keselamatan sedang bertugas namun dia menyembunyikan diri selepas menyedari kehadiran tiga lelaki bertopeng berkenaan, kata sumber itu kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Jumlah kerugian masih ditaksir, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain