suria

Satu Undi Boleh Merubah Segalanya...

AKHIRNYA pengumuman yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia kunjung jua.

Tepat jam 11.35 pagi 3 April 2013, Parlimen Malaysia bubar jua selepas lima tahun Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) berlangsung.

Ketika catatan ini dicoret, semua negeri juga telah membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing kecuali Sarawak yang telah pun mengadakan pemilihan peringkat negeri tahun lalu.

Gendang sudah dipalu. Pastinya strategi sudah diatur. Semangat dan motivasi sudah mula dipupuk. Setiap pihak, sama ada BN ataupun PR, semakin rancak dan bersemangat merencana gerak kerja awal bagi menghadapi perlawanan genting itu.

Masing-masing sudah memasang harapan dan matlamat tersendiri. BN pasti ingin mempertahankan kemenangan pada PRU-12 malah berazam untuk mencapai jauh lebih baik di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dan PR pula pasti mahu berusaha mencipta sejarah menerajui kepimpinan negara buat julung kalinya. Itulah matlamat mereka, yang pasti akan dilaksanakan oleh jentera masing-masing.

Satu tepukan hormat saya berikan buat Datuk Seri Najib yang berjaya mengemudi bahtera negara walaupun seringkali dilanda ombak keraguaan.

Hakikatnya, bukan mudah untuk memikul amanat apatah lagi memimpin sebuah negara yang unik yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.

Siapa saja yang menerajui negara ini pastinya pening kepala memiikirkan kelangsungan dan kelastarian perpaduan yang harus dikekalkan agar simbiosis hidup di bawah satu naungan ini dapat diteruskan.

Berbalik kepada isu pilihan raya, saya menyeru agar rakyat dan juga calon-calon yang bertanding, terus tenang dan tidak melakukan sebarang provokasi secara melampau.

Sudah menjadi adat untuk kita bersaing dan menegakkan pendirian kita namun janganlah sampai melukai apatah lagi sampai merusuh.

Ingat, kita ini hidup bermasyarakat, jangan disebabkan oleh PRU-13 ini akhirnya kita menjadi terpencil hidup sendirian apabila habis sahaja mengundi.

Kita sebagai rakyat bertamadun harus belajar untuk cuba bersetuju untuk tidak bersetuju. Tidak dinafikan, bukan mudah melakukannya, namun jika kita mempunyai jatidiri yang kuat serta menggunakan akal yang dianugerahkan oleh Ilahi, pastinya kita dapat bertidak secara profesional melampaui batas-batas emosi.

Saya juga menggesa agar kita semua, yang diwartakan sebagai pengundi untuk keluar mengundi dengan jiwa yang bersih. Cernalah setiap pandangan serta nilailah dengan telus perjuangan pemimpin-pemimpin kita yang lampau untuk dijadikan batu pengukur membuat pilihan.

Jangan berpaksikan emosi dalam membuat keputusan kerana undi anda bakal menentukan hala tuju negara di masa hadapan. Janganlah disebabkan undi anak-cucu kita sengsara kelak.

Pilihlah mereka yang berjiwa besar yang melihat serta memiliki visi yang melampaui hari esok.

Jangan tersalah pilih, teruk padahnya. Jangan sekali-kali menggadai masa depan hanya kerana dendam. Undi anda penentu kepimpinan negara.

Mereka inilah yang akan mengemudi bahtera negara dalam arus kemodenan yang begitu mencabar ketika ini.

Pastinya PRU-13 akan menjadi sesuatu yang amat menarik dalam lipatan sejarah, apatah lagi beberapa pembaharuan juga akan diperkenalkan buat pertama kalinya, seperti penggunaan dakwat kekal di jari, pengundi luar negara serta pelantikan pemerhati yang diiktiraf untuk memantau keadilan proses pilihan raya.

Banyak analisa awal yang telah dibuat oleh para penganalisis politik berkenaan gambaran awal dan juga kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku pada PRU-13 nanti.

Apa yang pasti, PRU-13 bakal menjadi satu pilihan raya yang akan menentukan status kedudukan parti-parti yang bertanding, sama ada ia masih mendapat sokongan dan kepercayaan daripada rakyat ataupun sebaliknya.

Jika keputusan PRU-12 dahulu dikatakan satu sejarah baru dalam arena politik negara, saya merasakan tidak mustahil akan tercipta satu lagi sejarah baru pada PRU-13 nanti.

Telaan saya ialah akan wujudnya pertembungan “panas” satu lawan satu di hampir semua kawasan parlimen mahupun dewan undangan negeri dan pertandingan “kereta kebal” yang melibatkan tokoh-tokoh besar yang selama ini kita tidak menjangka bahawa mereka ini akan melibatkan diri sepenuh masa dalam kancah politik kepartian.

Media alternatif pastinya memainkan peranan utama dalam penyebaran maklumat dan pemujuk pengundi atas pagar.

Saya menyifatkan PRU-13 sebagai pilihan raya media sosial pertama dalam negara yang mana menjadi pemangkin untuk ahli-ahli politik berkomunikasi dengan masyarakat.

Malah peperangan media sosial ketika ini sudah pun berlaku dan hampir setiap minit ada saja pertempuran di mana-mana laman media sosial.

Kita terpaksa menerima hakikat jentera siber bukan lagi jentera picisan sebaliknya mereka mempunyai jaringan yang cukup kuat dalam mendepani serangan lawan dan menyalurkan maklumat segera kepada golongan sasar, kerana segalanya kini hanya di hujung jari.

Harapan saya, jangan dijadikan medium ini sebagai penyebar fitnah dan diadu dombakan pelbagai pihak yang boleh merosakkan perpaduan yang sedia ada.

Harus diingatkan, negara kita bukan dibina dengan batu-bata. Ia juga boleh musnah dalam sekelip mata.

Bagi pengundi pula, anda harus bijak dalam menapis semua maklumat yang diberi. Gunakan akal yang rasional tanpa prejudis.

Jangan jadikan masa depan diri, keluarga dan negara sebagai sesuatu yang boleh diperjudikan.

Pada mereka yang sudah mula berfikir untuk tidak keluar mengundi pada PRU-13 ini, fikir baik-baik, kerana satu undi boleh merubah segalanya.

Mungkin ada dari kalangan kita yang menganggap ini soal remeh, tapi tanpa disedari dengan hanya sekeping undi yang kita pangkah, kesannya amat besar dalam kehidupan dan masa depan kita.

Lihat apa yang berlaku dalam lipatan sejarah;

> Pada tahun 1649, satu undi telah menyelamatkan King Charles of England dari dihukum bunuh;

> 1839, satu undi telah menyebabkan Marcus Morton di lantik gabenor Massachusetts, Amerika Syarikat;

> 1845, satu undi telah membolehkan Texas menyertai Gabungan Amerika Syarikat;

> 1868, satu undi telah menyelamatkan Presiden Andrew Johnson dari dihukum;

> 1923, kelebihan satu undi telah menyebabkan Adolf Hitler dilantik presiden parti Nazi.

Maka marilah kita sama-sama menunaikan tanggungjawab kita sebagai penentu hala tuju negara.

Undi kita amat berharga. Undi tidak boleh dijual beli. Maka undilah untuk MALAYSIA.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri adalah Timbalan Pengarah, Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia.

Artikel Berikut

Artikel Lain