suria

PRU-13: Jui Meng Dijanjikan Kerusi

PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng tetap dijanjikan tempat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun nasib Chua sama ada akan ditempatkan bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum diputuskan kepimpinan tertinggi parti itu.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira peranan Chua dalam perkembangan politik di Johor.

"Beliau ada dalam pertimbangan, Datuk Seri Anwar (Ibrahim) sudah bertemu dan berbincang dengan Datuk Chua semalam (Selasa) tentang senario politik di Johor.

"Kita ambil kira peranan beliau dan kita akan menawarkan kawasan yang sesuai untuk dia bertanding," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Chua dilaporkan telah 'menghilangkan' diri sejak Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengumumkan hasratnya pada 18 Mac lalu untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Bakri sebelum digugurkan sebagai calon Barisan Nasional pada 2008, dilihat berharap untuk bertanding semula di kerusi yang pernah disandangnya atau kerusi Gelang Patah pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum Lim mengumumkan hasratnya, ketegangan antara pakatan pembangkang lebih awal berlaku apabila Chua dan Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hou juga bertelagah merebut kerusi Gelang Patah.

Selepas 'kehilangan' Chua, kedudukannya sebagai Pengerusi MPN Johor diambil alih sementara oleh timbalannya, Dr Ahmad Faidhi.

Artikel Berikut

Artikel Lain