suria

Jangan Merajuk Jika Tidak Dicalonkan - Khairy

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin meminta anggota sayap itu tidak "merajuk" atau menentang jika mereka tidak dicalonkan pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Katanya perkara itu turut terpakai oleh dirinya sendiri yang tetap komited memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) andai tidak tersenarai sebagai calon.

"Saya akur dengan apa sahaja yang bakal diputuskan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, kalau diarah bertanding saya akur, kalau diminta undur saya akur juga," katanya menerusi laman sosial Facebook, Khamis.

Menurut Khairy sekarang adalah masa bagi pemimpin muda membuktikan perpaduan dan kesetiaan kepada parti menerusi amalan dan tindakan.

Yang penting bukan jawatan tetapi niat untuk berkhidmat demi rakyat dan keberkesanannya dalam membawa kebaikan kepada rakyat, katanya meminta semua anggota dan pemimpin sayap itu menjadikan beliau sebagai contoh.

"Saya Ketua Pemuda Umno Malaysia, pangkat Naib Presiden Umno, namun saya tidak dilantik dalam Kabinet.

"Perkara ini dijadikan bahan ejekan bagi musuh-musuh politik terhadap saya. Walaupun begitu, saya tak pernah kenal erti istilah sedih, kecewa, marah atau merajuk," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain