suria

Jangan Layan Khabar Angin Siapa Calon BN Di Selangor - Noh Omar

SHAH ALAM: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar mengingatkan anggota dan pemimpin BN di negeri itu agar tidak melayan khabar angin mengenai calon pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ini kerana kata beliau, selagi mereka tidak menerima watikah pelantikan sebagai calon tiada siapa boleh mendakwa dirinya terpilih.

Watikah pelantikan sebagai calon ini dijangka akan diterima oleh mereka yang terpilih seminggu sebelum hari penamaan calon, katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama pegawai dan warga kerja jabatan serta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, di sini Khamis.

Noh yang juga menteri berkenaan, berkata manifesto BN Selangor sempena PRU13 hanya akan diumum selepas pelancaran Manifesto PRU13 BN pada Sabtu ini.

Mengulas perkembangan lain, Noh membidas kerajaan negeri Selangor yang didakwanya mewujudkan pelbagai halangan kepada usaha kerajaan pusat untuk mewujudkan institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di negeri itu.

Terbaru membabitkan 400 pelajar lelaki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang dikenakan kadar sewa tinggi oleh pihak pengurusan Yayasan Selangor bagi menduduki asramanya di Kem Ampang Pecah.

Beliau berkata, pelajar terbabit terpaksa dipindahkan buat sementara ke kem itu selepas asrama yang diduduki mereka di KKB terbakar September lepas.

"Saya difahamkan setiap pelajar terbabit secara purata dikenakan sewa antara RM600 sebulan untuk menumpang asrama YS (Yayasan Selangor) sementara menunggu asrama mereka di KKB dibaiki. Kalau sewa rumah di KKB pun yang paling mahal hanya RM500 sahaja.

"Ini jelas menunjukkan kerajaan Selangor mata duitan sebab ambil untung dari rakyat susah," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain