suria

Hanya Najib Dan Palanivel Boleh Putuskan Siapa Calon MIC - Dr Subramaniam

PUTRAJAYA: Keputusan akhir mengenai siapa calon MIC dan kawasan yang akan ditandingi terletak di tangan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden MIC Datuk G. Palanivel.

Justeru kata Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam, walaupun ada yang mendakwa mereka calon terbaik, belum tentu mereka akan terpilih.

"Siapa pun boleh berkata apa-apa, tetapi hanya kedua-dua pemimpin itu mempunyai kuasa menentukan," katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan bekas presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu bahawa beliau calon boleh menang dan berhasrat bertanding semula di kawasan Parlimen Sungai Siput pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Samy Vellu yang bertanding dan menang di kerusi parlimen itu sejak 1974, gagal mempertahankannya pada pilihan raya umum 2008. Beliau kalah kepada calon Parti Sosialis Malaysia menerusi Dr Michael Jeyakumar Devaraj dengan majoriti 1,821 undi.

Sementara itu, Dr Subramaniam yakin MIC dapat merampas semula kerusinya yang hilang pada pilihan raya umum 2008.

"Harapan MIC ialah memenangi kesemua sembilan kerusi parlimen dan 19 kerusi DUN yang dipertandingkan. MIC berusaha dan bertekad mengulangi rekod kemenangan pada 2004.

"Kalau tak dapat kemenangan 100 peratus pun, kita mahu menang lebih banyak kerusi berbanding 2008. Bagi mencapai hasrat tersebut MIC sedang bekerja keras," katanya.

Katanya selain memberi fokus di Parlimen Segamat, beliau juga akan membantu kempen calon MIC di beberapa kawasan parlimen di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan seperti yang diminta Palanivel. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain